KUALA LUMPUR 21 Mac — Sapura Energy Berhad mengakui terdapat beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke ibu pejabatnya pada Khamis sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan terhadap dakwaan penyelewengan dana membabitkan syarikat itu.
Dalam makluman yang difailkan kepada Bursa Malaysia, syarikat minyak dan gas tersebut berkata, mereka memberikan bekerjasama sepenuhnya dengan agensi itu berkenaan dan akan memberikan segala maklumat yang diperlukan bagi menyokong proses penyiasatannya.
"Sebagai entiti tersenarai awam yang bertanggungjawab, kami kekal komited untuk menegakkan standard tadbir urus korporat yang kukuh selain ketelusan dan integriti dalam semua aktiviti kami," kata syarikat itu.
Sapura Energy turut memberi jaminan kepada pihak berkepentingan bahawa operasi perniagaannya kekal tidak terjejas dan ia akan menyediakan maklumat terkini mengenai sebarang perkembangan yang penting.
Terdahulu, SPRM telah membuka sebanyak dua kertas siasatan terhadap Sapura Energy susulan siasatan awal yang pernah dilaksanakan pada akhir 2023.
Penyiasatan itu tertumpu kepada isu pengubahan wang haram dan penyelewengan dari sekitar 2018, ketika syarikat itu dikenali sebagai Sapura Kencana Petroleum Berhad. Ia juga meliputi rasuah, isu tadbir urus dan kelemahan pengurusan.
Sapura Energy menjadi tumpuan baru-baru ini selepas ia menerima suntikan modal sebanyak RM1.1 bilion daripada kerajaan untuk membayar kira-kira 2,000 vendor syarikat berkenaan.
Syarikat tersebut kini sedang menjalani proses penstrukturan semula untuk menangani isu hutang berjumlah RM10.8 bilion dan sebanyak RM1.5 bilion dalam bil perdagangan yang belum dibayar.
Saham Sapura Energy jatuh setengah sen atau 11.1 peratus kepada empat sen ketika ditutup pada petang Khamis, menilai permodalan syarikat dikenakan Nota Amalan 17 itu pada RM735 juta. - DagangNews.com








