KUALA LUMPUR 11 April — Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menyeru perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bukan sahaja bersedia jika tarif Amerika Syarikat (AS) dikenakan semula, tetapi menilai kembali segala rantaian bekalan, struktur kos dan kepelbagaian pasaran secara menyeluruh.
Presiden Samenta, Datuk William Ng berkata, pihaknnya mengambil maklum langkah tersebut yang memberi sedikit kelegaan sementara kepada pengeksport Malaysia, namun pada masa sama menggesa semua perniagaan khususnya PKS tempatan agar tidak leka atau mengambil mudah isu itu.
Kata beliau, tindakan panik atau keputusan tergesa-gesa sepanjang penangguhan berkenaan boleh membawa kepada lebih banyak keburukan berbanding kebaikan, terutama kepada usahawan PKS yang masih lagi sedang bergelut dalam landskap ekonomi global tidak menentu pada ketika ini.
"Memandangkan hanya sebanyak 13 peratus PKS di Malaysia yang memang terlibat dalam eksport, sebarang kesan negatif terhadap keyakinan para pengguna boleh menjejaskan trajektori kadar pertumbuhan negara secara tidak perlu," kata beliau dalam satu kenyataan.
William berkata, majoriti PKS berada dalam sektor perkhidmatan serta sangat terdedah kepada perubahan keyakinan pengguna dan perbelanjaan domestik, malah walaupun dasar perlindungan AS mungkin akan diteruskan Trump, masih terdapat ruang untuk perundingan.
PKS kata beliau, perlu menggunakan tempoh penundaan tarif timbal balik itu sebaik mungkin, dan kekal tenang susulan pengumuman terkini oleh Presiden AS, Donald Trump, semalam mengenai penangguhan tarif selama 90 hari.

"Kami ingin menegaskan pentingnya PKS tidak terlalu bergantung kepada pasaran tunggal. Inilah masa untuk perniagaan kita mengembangkan pelanggan secara serantau dan membina destinasi eksport baharu dengan masa depan terletak pada konsep ‘Jenama Malaysia’," katanya.
PKS juga kata beliau, wajar memberi tumpuan kepada usaha penciptaan nilai melalui inovasi, penjenamaan, dan pengeluaran pintar, sama ada secara tempatan atau di mana-mana lokasi dalam kalangan anggota ASEAN yang mempunyai keberkesanan dari segi kos.
Selain itu kata William, PKS tempatan tidak seharusnya menunggu kejutan luaran sebelum mula bertindak kerana sekarang adalah masa terbaik untuk mereka melabur dalam daya saing, membina kerjasama serantau, dan meneroka saluran pasaran yang baharu lebih luas.
Penangguhan sementara ini patut dijadikan sebagai landasan untuk transformasi jangka panjang dan Samenta kekal komited bekerjasama dengan kerajaan serta rakan strategik bagi membantu PKS menyesuaikan diri dalam landskap perdagangan global yang sentiasa berubah.
"Kami turut menggesa kerajaan agar melipatgandakan usaha dalam membantu PKS untuk meneroka pasaran ASEAN dan pasaran berpotensi tinggi yang lain, serta memperkukuh langkah mengurangkan kerenah birokrasi dan halangan bukan tarif di seluruh ASEAN," kata belliau.
Samenta juga katanya, mahu kerajaan menawarkan sokongan kewangan dan insentif kepada PKS yang ingin menyesuaikan semula strategi pengeluaran serta penyumberan mereka selain menggalakkan penyelidikan dan pembangunan serta penerapan teknologi dalam kalangan PKS. - DagangNews.com








