Samenta mahu sebahagian dana RM5 bilion SJPP turut disalur bantu PMKS beralih kepada tenaga bersih | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samenta mahu sebahagian dana RM5 bilion SJPP turut disalur bantu PMKS beralih kepada tenaga bersih

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 April – Kerajaan disaran supaya menyalurkan sebahagian daripada peruntukan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) beralih kepada penggunaan tenaga boleh baharu.

 

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata langkah itu boleh dilaksanakan melalui skim pembiayaan dengan kadar faedah rendah bagi pemasangan sistem solar serta penggunaan jentera cekap tenaga. 

 

“Inisiatif ini dilihat mampu mengurangkan kos operasi perniagaan serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api yang harganya tidak stabil.

 

“Selain itu, kerajaan juga perlu mempertimbangkan insentif bagi menggalakkan PMKS mengamalkan model ekonomi kitaran bagi menghadapi isu kekurangan bahan mentah akibat gangguan rantaian bekalan global.

 

“Antara cadangan ialah termasuk pemberian geran bagi teknologi penukaran sisa kepada nilai ekonomi, inisiatif kitar semula serta pembangunan platform perkongsian sumber dalam kalangan perniagaan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan import seperti petrokimia dan keluli,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan jaminan RM5 bilion di bawah SJPP sebagai langkah segera bagi meringankan tekanan perniagaan PMKS susulan krisis tenaga global dan konflik Asia Barat.

 

Ia akan memberi tumpuan kepada beberapa sektor utama termasuk pembinaan dan agro-makanan, logistik dan pengangkutan serta pelancongan.

 

Kerajaan turut memaklumkan lebih 50,000 PMKS telah menerima manfaat daripada jaminan pembiayaan berjumlah RM50 bilion yang disediakan antara tahun 2023 hingga 2025.

 

Samenta dalam masa sama turut menyambut baik beberapa langkah kerajaan termasuk lanjutan tempoh bertenang selama 12 bulan bagi pelaksanaan sistem e-invois. 

 

Selain itu, usaha penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman secara bersasar bersama institusi perbankan juga dilihat membantu aliran tunai PMKS.

 

“Semua langkah tersebut memberi kelegaan dari segi kecairan dan pentadbiran kepada perniagaan kecil, namun cabaran semasa memerlukan pendekatan lebih menyeluruh termasuk perubahan struktur ekonomi yang menekankan aspek kecekapan tenaga dan sumber.

 

“Kami komited untuk terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta agensi berkaitan bagi memastikan bantuan disalurkan secara lebih bersasar kepada PMKS yang benar-benar memerlukan,” katanya.

 

Dalam masa sama, persatuan itu berharap peralihan ke arah ekonomi hijau dapat dijadikan sebahagian daripada agenda utama pembangunan PMKS supaya sektor berkenaan kekal berdaya saing dalam jangka panjang. - DagangNews.com