KUALA LUMPUR 17 April — Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa pemerintah China untuk mempermudahkan proses kemasukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menebusi pasaran luas di negara berkenaan.
Presidennya, Datuk William Ng berkata, ini termasuk usaha pihak berkuasa China membolehkan PKS dari Malaysia dapat menyertai platform digital rentas sempadan, terutamanya yang dikendalikan terus oleh firma teknologi negara tersebut.
"Langkah ini memastikan pengeluar produk dan penyedia perkhidmatan tempatan dapat memanfaatkan sepenuhnya pasaran China jika negara berkenaan benar-benar serius mahu membantu PKS kita agar menembusi pasaran mereka," katanya dalam kenyataan.
Samenta jelas beliau, melihat China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia dan dengan pengukuhan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), ada potensi besar PKS di dua negara bekerjasama dalam aspek digital serta pembangunan yang mampan.
PKS kata William, boleh memanfaatkan platform perdagangan digital China bagi memperluaskan lagi eksport barangan halal, makanan kesihatan, dan produk artisan kepada pengguna negara tersebut selain usaha sama dalam sektor yang tertentu.
Ini kata beliau, termasuk tenaga boleh diperbaharui (RE), pengurusan sisa, dan pembuatan pintar yang boleh membuka pasaran serta kerjasama baharu, bukan sahaja untuk pasaran China dan Malaysia, tetapi boleh melangkaui peringkat global.
"Apa yang lebih penting, kerajaan mesti memastikan saluran lebih telus dan terbuka bagi PKS tempatan berpotensi dapat teribat Bersama dalam mana-mana projek ekonomi digital atau infrastruktur dibiayai oleh China di Malaysia," katanya.
William memberi contoh Malaysia pernah mempromosikan zon perdagangan bebas digital untuk menarik syarikat China menjadikan negara ini sebagai batu loncatan ke pasaran ASEAN, namun hasilnya sebahagian besar adalah tidak begitu positif.
Justeru kata beliau, Malaysia tidak boleh mengulangi kesilapan sama dan menggesa kedua-dua kerajaan mewujudkan program susulan bagi memastikan PKS boleh terlibat dalam sektor baharu seperti kecerdasan buatan, aplikasi satelit dan tenaga hijau.
Pendekatan itu katanya, boleh dilakukan sama ada melalui usaha sama, pembangunan vendor atau penggunaan teknologi kerana Samenta melihat lawatan Presiden Xi Jinping sebahagai komitmen baharu dan peluang tepat pada masanya untuk PKS negara ini.
"Bagaimanapun, kita perlu realistik terhadap cabaran yang mungkin timbul daripada kerjasama lebih erat ini disebabkan isu kerumitan peraturan dan halangan kemasukan pasaran, kerana China masih merupakan pasaran yang mencabar bagi PKS kita," kata William.
Kebimbangan berhubun perlindungan harta intelek (IP) di China terus menjadi isu utama apabila produk, jenama dan reka bentuk dijual di pasaran yang luas itu serta pada masa sama, PKS tidak dapat bersaing secara saksama dengan syarikat China.
Situasi itu disebabkan kekurangan sumber, pembiayaan dan skala. China mesti mengiktiraf ketidakseimbangan keupayaan ini dan memastikan sebarang urus niaga atau perniagaan tidak memihak secara berat sebelah dan merugikan Malaysia
Justeru kata William, untuk benar-benar membuka potensi kerjasama PKS Malaysia-China, Samenta menggesa kedua-dua kerajaan mempercepatkan pengiktirafan bersama piawaian dan pensijilan, terutamanya dalam makanan, kosmetik dan produk perubatan.
"Ini bagi memudahkan proses eksport dan secara langsung mengurangkan halangan bukan tarif antara kedua-dua pasaran, serta berharap China mengiktiraf Malaysia memerlukan sokongan untuk membina keupayaan dan daya saing," kata beliau. - DagangNews.com








