Samenta bimbang tarif Trump beri kesan kepada PKS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samenta bimbang tarif Trump beri kesan kepada PKS

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 April - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) bimbang dengan kesan tarif timbal balik baharu yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap beberapa negara termasuk Malaysia.
 

Menurut Presiden Samenta, Datuk William Ng, perkembangan itu membawa cabaran di samping peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, yang berperanan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara serta perdagangan global.
 

Tarif lebih tinggi katanya, boleh meningkatkan kos bagi pengimport dan pengeksport, selain mengurangkan daya saing bukan sahaja di pasaran AS tetapi juga pasaran lain, serta berpotensi menjejaskan pekerjaan di samping pelaburan PKS.


"Samenta namun percaya dengan strategi betul, PKS kita boleh menyesuaikan diri meraih manfaat perubahan dinamik perdagangan global. Kami menggesa kerajaan dan PKS bertindak bagi mengurangkan risiko serta merebut peluang baharu," katanya dalam satu kenyataan.


Pada masa sama, beliau turut menjangkakan tempoh ketidaktentuan yang singkat sementara ekonomi serantau dan lain pula akan terkesan dalam menyesuaikan strategi mereka untuk cuba mengatasi atau mengurangkan impak daripada tarif berkenaan. 


Begitu juga kata William, sama ada ekonomi yang lebih besar seperti China akan bertindak balas dengan mengenakan tarif timbal balik juga akan mempengaruhi sejauh mana impak tarif AS itu terhadap industri di Malaysia pula.


Berdasarkan konteks perdagangan domestik jelas beliau, kesannya dijangka cuma berkisar antara minimum hingga sederhana, dengan barangan yang diimport dari AS berkemungkinan menjadi lebih mahal dalam jangka masa terdekat.


"Perkara yang lebih membimbangkan adalah kemungkinan lambakan produk dari negara terjejas, khususnya hab pengeluaran besar. Ini akan memberi kesan lebih besar kepada PKS kita berbanding tarif langsung terhadap eksport ke AS," katanya.


Perniagaan terutamanya PKS katanya, perlu belajar mempelbagaikan sumber bahan mentah dan pelanggan mereka, dengan memastikan risiko rantaian bekalan dapat dikurangkan serta dijadikan amalan baik tanpa mengira kesan tarif semasa ini.


Pada peringkat ASEAN kata William, keperluan untuk mengurangkan halangan bukan tarif kini lebih mendesak berbanding sebelum ini boleh bergantung kepada ekonomi besar seperti AS, China dan Eropah untuk menyerap sebahagian besar eksport Malaysia.


Bagaimanapun hari ini sudah jelas bahawa masa depan harus berteraskan konsep ‘kemakmuran serantau’ dan perbincangan mengenai pembentukan pasaran tunggal ASEAN mesti dibuka semula segera, dengan matlamat mewujudkan kesatuan kastam yang boleh memberi manfaat.


"Bagi PKS pula, kita mesti segera beralih daripada konsep ‘Buatan Malaysia’ kepada ‘Jenama Malaysia’ serta menumpukan pengeluaran di ASEAN yang kos pengeluaran lebih rendah, sambil memperkukuh penyelidikan, pembangunan dan inovasi dalam negara," katanya.


Samenta ujarnya, komited untuk terus menyokong PKS dalam menghadapi perubahan dan akan bekerjasama rapat dengan kerajaan serta pihak berkepentingan lain untuk memastikan perniagaan  kekal berdaya tahan selain berdaya saing di peringkat global.


William menambah, pihaknya turut menggesa semua PKS untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini, menyesuaikan diri secara proaktif, dan mencari peluang dalam landskap perdagangan global yang sedang berubah. - DagangNews.com