Samchem labur RM21 juta pajak tanah bina terminal stor kimia cecair pukal di Johor Bahru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samchem labur RM21 juta pajak tanah bina terminal stor kimia cecair pukal di Johor Bahru

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 22 AprilSamchem Holdings Berhad memperoleh hak penggunaan sebahagian tanah pajakan di Mukim Plentong, Daerah Johor Bahru, Johor melibatkan pertimbangan tunai RM21.08 juta.


Usaha itu dilaksanakan subsidiari milik penuhnya, SC Terminals Sdn Bhd menerusi perjanjian dengan Idemitsu Chemicals (M) Sdn Bhd untuk memajak tanah perindustrian berkeluasan 40,793 meter persegi.


Tempoh pajakan berkenaan dijadualkan berakhir pada 29 Mei 2051, dengan kumpulan itu bercadang membina terminal stor cecair pukal sendiri di tanah tersebut bagi mengembangkan kapasiti simpanan.


"Ia untuk kegunaan dalaman dan sewaan kepada pelanggan, dengan kemudahan ini juga membolehkan kumpulan menjalankan aktiviti pemecahan pukal," maklum Samchem kepada Bursa Malaysia. 


Fasiliti berkenaan jelas syarikat tersebut, memudahkan bahan kimia yang disimpan secara pukal itu kemudian boleh dibungkus semula ke dalam produk bersaiz lebih kecil untuk proses pengedaran.


Langkah ini ujarnya, dijangka memperkukuhkan kedudukan kompetitif kumpulan dan membolehkan ia turut dapat bergerak secara lebih jauh dalam rantaian nilai perniagaan pengedaran bahan kimia.


Tanah tersebut dipilih berdasarkan lokasi strategiknya yang berhampiran dengan pelanggan utama Samchem serta ketersediaan kemudahan jeti berdekatan bagi menyokong keperluan operasi syarikat.


"Pertimbangan nilai pajakan ini dicapai atas dasar 'kesanggupan pembeli dan penjual' serta akan dibiayai sepenuhnya melalui dana penjanaan dalaman dan pinjaman bank," tambah kumpulan berkenaan.


Sebanyak 50% daripada jumlah tersebut katanya, dibayar sebagai bayaran pendahuluan, manakala baki amaun selebihnya akan dijelaskan kemudian melalui ansuran bulanan sehingga tamat tempoh pajakan.


Lembaga Pengarah Samchem berpendapat cadangan ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan apabila kemudahan mula beroperasi.


Selain perjanjian pajakan utama, SC Terminals juga katanya, memeterai perjanjian tambahan untuk perkongsian kos penyelenggaraan infrastruktur asas dan kemudahan premis bersama. - DagangNews.com