KUALA LUMPUR 24 Jun — Permintaan ke atas tawaran awam permulaan (IPO) Pan Merchant Berhad lemah, dengan cuma 37 peratus saham dilanggan menjelang penampilan sulung pada 26 Jun 2025 di Pasaran ACE.
Pengeluar rumusan penapisan industri itu berkata, saham awam menerima 1,107 permohonan untuk 16.9 juta saham, bernilai RM4.6 juta, berbanding 45.8 juta saham diperuntukkan kepada pelabur runcit.
Berdasarkan pecahan, sebanyak 449 permohonan untuk 4.34 juta saham bahagian Bumiputera, atau 19% dilanggan, manakala 658 permohonan untuk 12.59 juta saham bukan Bumiputera, atau 55% dilanggan.
"Baki berjumlah 28.9 juta saham yang tidak dilanggan itu akan ditaja jamin sepenuhnya oleh Affin Hwang Investment Bank sebagai penaja jamin tunggal IPO tersebut," kata Pan Merchant dalam kenyataan.
Bahagian yang diambil sepenuhnya termasuk 57.3 juta saham untuk pelabur terpilih dan 114.5 juta saham bagi pelabur Bumiputera di bawah peruntukan Kementerian Perdagangan Pelaburan dan Industri.
Perkembangan permintaan runcit yang lemah dipercayai selepas dua firma penyelidikan tidak bersetuju dengan nilai syarikat itu pada harga IPO 27 sen yang dianggap mahal dan mencadangkan 23 sen sahaja.
Penilaian itu disebabkan saiz kecil, bahagian pasaran dan risiko perdagangan global manakala sebuah firma menilainya lebih tinggi pada 33 sen, kerana kelebihan kos dan harga kukuh berbanding pesaing.
Pengarah Urusan Pan Merchant, Wong Voon Ten berkata, pelancaran IPO itu kebetulan berlaku semasa ketidaktentuan pasaran akibat ketegangan global, yang dipercayai telah menjejaskan minat pelabur.
Bagaimanapun beliau tetap yakin dengan masa depan syarikat tersebut berdasarkan kejayaannya mencatat rekod prestasi kerja selama 38 tahun dan komitmennya terhadap pertumbuhan jangka panjang.
"Kami percaya semasa melaksanakan rancangan pertumbuhan dan menyampaikan prestasi kewangan kukuh, pelabur akhirnya akan mengiktiraf nilai kami dan melihat kembali sebagai permulaan baik," katanya.
Kumpulan itu juga mengesahkan dasar dividennya, menyasarkan pengagihan minimum 30 peratus daripada keuntungan teraudit tahunan selepas cukai yang boleh diagihkan semula kepada para pemegang saham.
Syarikat tersebut mengumpul RM62.69 juta di bawah terbitan awam dan daripada jumlah itu, 45 peratus untuk perbelanjaan modal bagi kilang pembuatan, termasuk pemerolehan mesin, dan naik taraf fasiliti.
Sementara 11% lagi diperuntukkan untuk pembangunan produk, hampir 10% untuk pengembangan perniagaan di Belanda, 23% untuk modal kerja, dan baki 11% untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian di bursa.
Beribu pejabat di Malaysia, Pan Merchant mengendalikan sebanyak tiga kemudahan pembuatannya di Ipoh, Perak, serta mengeksport lebih 80% daripada produknya ke pasaran Asia, Eropah, Amerika dan Afrika.
Ia juga mengekalkan pejabat di Singapura, Belanda dan Amerika Syarikat bagi melayani pelanggan dalam industri penapisan minyak, pemprosesan makanan, pengeluaran bahan api mampan dan rawatan air.
Selepas penyenaraian tersebut, Pan Merchant dijangka mencapai permodalan pasaran berjumlah RM247.32 juta berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 916 juta saham. - DagangNews.com








