Samaiden raih sumbangan sederhana akibat kos tinggi pembiayaan projek solar, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samaiden raih sumbangan sederhana akibat kos tinggi pembiayaan projek solar, kata TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 SeptSamaiden Group Berhad dijangka berdepan dengan sumbangan awal sederhana disebabkan kos tinggi pembiayaan untuk projek solar berskala besar (LSS) yang dimenanginya di Johor.

 

Menurut TA Securities, projek diperoleh menerusi konsortium antara anak syarikatnya, Samaiden Sdn Bhd dan JBB Builders (M) Sdn Bhd itu hanya menyumbang sekitar RM1.3 sehingga RM1.9 juta setahun.


Bagaimanapun firma tersebut berpendapat, projek di Segamat itu di bawah skim LSS5+ terus mencatat kejayaan dalam strategi tenaga boleh diperbaharui (RE) yang ditetapkan oleh syarikat berkenaan.


“Ini merupakan aset solar kedua terbesar Samaiden berdasarkan pegangan efektif, selepas kejayaan 100% milikan penuh dalam LSS5 sebelum ini,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.


Tambahnya, projek yang disasarkan beroperasi pada 31 Oktober 2027 itu juga amat positif dalam jangka panjang kumpulan kerana tempoh perjanjian pembelian tenaga (PPA) adalah selama 21 tahun.


Samaiden dijangka memegang kepentingan majoriti dalam konsortium tersebut dan dengan tambahan projek ini, kapasiti penjanaan kuasa dalam perancangan Samaiden ketika ini mencecah 263MW.


Ia jauh meninggalkan 1.2MW kapasiti operasi semasa dengan kesemua projek dijangka beroperasi secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang, menyokong pertumbuhan hasil berulang.


TA Securities menganggarkan projek ini bakal menyumbang RM4.5 juta keuntungan tahunan secara purata sepanjang tempoh konsesi, namun sumbangan pada peringkat awal diramalkan lebih rendah.


"Ini memandangkan struktur pembiayaan dijangka menyebabkan kos faedah yang tinggi, tetapi aset dijangka dibiayai melalui pembiayaan projek tanpa tanggungan kepada syarikat induk," katanya.


Penganugerahan projek LSS5+ yang melibatkan kapasiti secara keseluruhan berjumlah 1,975MWac, diyakini membuka prospek pengisian semula buku tempahan untuk perniagaan utama Samaiden.


Ini terutama dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), manakala gabungan LSS5 dan LSS5+ merangkumi 4GW dijangka menjana nilai kontrak RM14 bilion dalam dua tahun lagi.


Setakat ini, Samaiden telah memperoleh kerja EPCC bernilai RM436 juta bagi 132.6MWac, mewakili 7% pegangan pasaran LSS5 dengan buku tempahan semasa telah mencapai rekod tertinggi RM699 juta.


"Ia bersamaan dua kali ganda hasil FY25, satu penunjuk kukuh terhadap pertumbuhan masa depan dan kami mengekalkan unjuran serta saranan sedia ada, dengan harga sasaran RM1.47 sesaham," katanya.


TA Securities berkata, jika Samaiden memegang 70% pegangan dalam projek baharu ini, nilai bersih tambahan dianggarkan sekitar RM80 juta, yang berpotensi meningkatkan penilaian saham. - DagangNews.com