Salutica berhentikan 250 pekerja dalam langkah penstrukturan semula operasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Salutica berhentikan 250 pekerja dalam langkah penstrukturan semula operasi

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 April – Salutica Bhd mengumumkan pelaksanaan penstrukturan semula operasi yang menyebabkan kira-kira 53% tenaga kerjanya atau sekitar 250 pekerja akan diberhentikan bermula 30 April 2026, melibatkan anak syarikat milik penuhnya, Salutica Allied Solutions Sdn Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Salutica berkata langkah itu diambil selepas semakan menyeluruh terhadap keperluan tenaga kerja, keadaan pasaran semasa serta kecekapan operasi kumpulan, bagi menyelaraskan struktur kos dengan keperluan perniagaan terkini.

 

“Pekerja yang terjejas akan menerima sokongan termasuk kaunseling kerjaya serta bantuan penempatan pekerjaan sebagai sebahagian daripada usaha mitigasi sosial.

 

 

 

 

 

 

“Pelaksanaan program penstrukturan ini akan melibatkan kos sekali sahaja yang akan memberi kesan kepada keputusan kewangan bagi tahun berakhir 30 Jun 2026 (FY2026). 

 

“Namun begitu, kami menjangkakan langkah tersebut akan menghasilkan penjimatan kos serta meningkatkan kecekapan operasi dalam jangka panjang,” katanya.

 

Syarikat yang berpangkalan di Ipoh, Perak itu terlibat dalam reka bentuk dan pembuatan produk elektronik seperti headphone Bluetooth, jam tangan pintar serta komponen ketepatan untuk sistem paparan skrin sentuh optik. 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ia beroperasi sebagai pengeluar reka bentuk asal (ODM) dengan pelanggan dalam kalangan syarikat elektronik dan teknologi antarabangsa dari Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun.

 

Dalam perkembangan kewangan, Salutica telah mencatatkan kerugian selama tujuh tahun berturut-turut. Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2025 (1HFY2026), syarikat merekodkan kerugian bersih RM13.1 juta, berkurang berbanding RM15.17 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, walaupun hasil meningkat kepada RM15.39 juta daripada RM6.85 juta. - DagangNews.com