KUALA LUMPUR 1 April – Salcon Berhad melalui anak syarikatnya, Salcon Engineering Berhad, meraih kontrak bernilai RM80.4 juta bagi projek infrastruktur bekalan air di Seberang Perai, Pulau Pinang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata, surat penganugerahan (LOA) diterima daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd bagi projek reka dan bina tersebut.
Projek berkenaan jelasnya melibatkan kerja membekal, memasang dan mengujiterima paip utama dari Loji Rawatan Air Sungai Kerian ke tangki di Batu Kawan, termasuk sambungan ke tangki air di Jawi.
"Kerja-kerja pembinaan tersebut akan bermula pada 6 April 2026 dengan tempoh pelaksanaan selama 36 bulan dan projek dijangka perlu disiapkan sepenuhnya menjelang 5 April 2029," tambah Salcon.
Kontrak ini tidak mempunyai opsyen pembaharuan dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan seterusnya.
Sementara itu katanya, dari segi kewangan pula, projek terbaharu berkenaan tidak akan memberi kesan kepada sebarang modal saham terbitan atau kepentingan pegangan pemegang saham utama kumpulan.
Bagaimanapun, Lembaga Pengarah Salcon berpendapat, risiko utama kontrak tersebut adalah berkaitan dengan isu pelaksanaan projek, seperti kelazimannya dalam sektor pembinaan di negara ini.
"Kumpulan ini turut mengesahkan tiada pengarah atau pemegang saham utama memiliki sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak, dalam kontrak tersebut," katanya. - DagangNews.com








