KUALA LUMPUR 28 Jan - Anak syarikat milik penuh Salcon Bhd, Mentari Kamuning Sdn Bhd (MKSB) memeterai perjanjian Pengaturan Penghantaran Dipertingkat Baharu (NEDA) dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Salcon berkata,perjanjian itu membolehkan MKSB beroperasi sebagai syarikat penjana untuk mereka bentuk, membina, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara kemudahan penjanaan tenaga solar berkapasiti tujuh megawatt (MWac) di Sungai Siput, Kuala Kangsar, Perak.
“Di bawah perjanjian itu, MKSB memiliki, mengendali dan menyelenggara kemudahan penjanaan tenaga solar berkapasiti 7MW atau MWac di Sungai Siput, Kuala Kangsar, Perak.
"Kemudahan itu akan menjana dan membekalkan tenaga kepada TNB di bawah skim NEDA," kata syarikat itu.
Di bawah garis panduan NEDA yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga dan tertakluk kepada MKSB memenuhi syarat yang ditetapkan, TNB akan memberi akses kepada MKSB kepada sistem pengagihannya bagi membekalkan tenaga.
Salcon berkata, perjanjian itu tidak akan memberi kesan material ke atas aset bersih atau pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
"Salcon menjangkakan sumbangan pendapatan positif daripada kemudahan itu bermula dari tarikh operasi komersialnya dan berterusan selama 21 tahun," katanya. - DagangNews.com








