Salcon dapat dua kontrak pengurusan air sisa berjumlah RM99.8 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Salcon dapat dua kontrak pengurusan air sisa berjumlah RM99.8 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Mac — Salcon Berhad memperoleh dua kontrak berkaitan pengurusan air sisa bernilai RM99.8 juta daripada dua pihak.
 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata, anak syarikat milik 60 peratus Salcon Engineering Berhad, iaitu Envitech Sdn Bhd, menerima dua surat penganugerahan untuk membangunkan semula loji rawatan air sisa dan infrastruktur air sisa.
 

Kontrak pertama bernilai RM88.8 juta, dianugerahkan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi membina infrastruktur air sisa di Taman Perindustrian Batu Kawan.
 

Projek di Daerah Seberang Perai Selatan itu dijangka menjangkau tempoh lebih 18 bulan.
 

Sementara itu, kontrak kedua dianugerahkan Binastra Builders Sdn Bhd untuk membangunkan semula loji rawatan air sisa di Cheras bernilai RM11 juta.
 

Projek di Kuala Lumpur itu pula dijangka mengambil masa kira-kira 36 bulan untuk disiapkan.
 

Menurut makluman berkenaan, Salcon berkata bahawa kedua-dua projek tersebut adalah kontrak pembinaan tanpa ada pilihan untuk pembaharuan.
 

“Projek-projek ini dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih Salcon Group bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 hingga 31 Disember, 2026,” kata syarikat itu.
 

Salcon merupakan syarikat pakar dalam mereka bentuk, membina, mentauliahkan, mengendalikan dan menyelenggara loji rawatan air dan air sisa serta kemudahan berkaitan di seluruh Asia. - DagangNews.com