KUALA LUMPUR 23 Okt - Gadang Holdings Berhad dibimbangi terus berdepan tekanan dari segi keuntungan akibat persaingan sengit dalam sektor pembinaan serta campuran projek infrastruktur yang menawarkan margin rendah, kata TA Securities.
Katanya, keadaan itu akan mengekang pertumbuhan kumpulan pada masa akan datang walaupun keterlihatan kerja kekal stabil dengan jumlah buku pesanan yang sihat.
Firma penyelidikan itu berkata, Gadang memulakan tahun kewangan 2026 (FY26) dengan prestasi kukuh apabila mencatatkan keuntungan teras terlaras sebanyak RM12.6 juta, melebihi jangkaan dengan 73.8% daripada unjuran setahun penuh.
Prestasi cemerlang ini disokong oleh peningkatan bil progres yang lebih tinggi daripada jangkaan dalam segmen pembangunan hartanah, yang melonjak 58% tahun ke tahun (YoY) dengan margin keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat kepada 19.2%, berbanding 12.6% pada suku pertama FY25.
"Peningkatan margin itu sebahagiannya berpunca daripada campuran jualan projek lebih menguntungkan, termasuk Laman Citra Fasa 4 dan Akasia Fasa 1B, selain penjimatan kos pembinaan serta pembiayaan yang lebih rendah," katanya dalam satu nota kajian.
Pendapatan keseluruhan Gadang melonjak 100.2% YoY kepada RM297.2 juta, berbanding RM148.5 juta pada suku yang sama tahun lalu, didorong pertumbuhan kukuh dalam segmen pembinaan (+142.1%) dan pembangunan hartanah (+58.0%).
Seiring dengan pertumbuhan hasil dan kadar cukai efektif yang lebih rendah, keuntungan bersih terlaras turut meningkat ketara daripada RM1.1 juta kepada RM12.6 juta.
Setakat akhir Ogos 2025, buku pesanan pembinaan kumpulan berjumlah RM646 juta, bersamaan 1.9 kali unjuran hasil pembinaan FY26, manakala jualan hartanah belum dibil mencecah RM216.3 juta.
Sehingga kini, penambahan buku pesanan tahunan kumpulan mencecah RM144.5 juta, iaitu 48.2% daripada andaian tahunan sebanyak RM300 juta, disokong tender bernilai RM3 bilion yang meliputi projek infrastruktur, rel dan pusat data.
Segmen pembangunan hartanah dijangka kekal sebagai penyumbang utama keuntungan kumpulan, dipacu kemajuan projek Laman Citra Fasa 4 di Gelang Patah dan Akasia Fasa 1B di Semenyih.
TA Securities menjangkakan segmen itu akan terus mendapat sokongan daripada strategi harga agresif dan insentif jualan disasarkan, bagi menangani permintaan perumahan yang stabil.
"Kami mengekalkan saranan "jual" dengan harga sasaran 22 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com








