Saingan sengit industri insurans tekan margin LPI Capital - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saingan sengit industri insurans tekan margin LPI Capital - MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Ogos – LPI Capital Berhad mencatatkan keputusan stabil bagi suku kedua tahun kewangan 2025, dengan keuntungan bersih teras sebanyak RM83 juta, kata MBSB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, ia sebenarnya merupakan penurunan 15% suku ke suku (QoQ) disebabkan oleh pulangan pelaburan yang lebih lemah dan kenaikan perbelanjaan insurans.


Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, LPI merekodkan keuntungan bersih RM181 juta, meningkat 1% tahun ke tahun (YoY), sejajar dengan unjuran firma itu iaitu 47% daripada anggaran tahun penuh. 


"Walaupun ia beroperasi dalam sektor yang stabil, LPI masih lagi berdepan beberapa faktor cabaran utama yang boleh mengehadkan pertumbuhan jangka pendek," kata MBSB Research dalam nota kajiannya.


Antaranya, persaingan sengit dalam industri insurans yang menekan margin dan menuntut pelaburan berterusan dalam kecekapan operasi dan pertumbuhan perlahan dalam pinjaman perumahan kediaman.


Perkembangan itu tambahnya, boleh menjejaskan segmen premium kebakaran, yang merupakan antara penyumbang margin tertinggi selain risiko peningkatan kos insurans semula dan tuntutan insurans.


MBSB Research menambah, cabaran lain dialami LPI termasuk tekanan terhadap pengurusan kos operasi, yang sebenarnya boleh menjejaskan keuntungan bersih kumpulan berkenaan pada tempoh akan datang.


Bagaimanapun, di sebalik banyak cabaran, terdapat faktor positif yang terus menyokong prospek jangka sederhana syarikat antaranya, langkah pelupusan pegangan saham kumpulan ini dalam Public Bank Berhad.


"Usaha itu membuka ruang kepada dividen khas, selain kerjasama strategik berterusan antara LPI dan Public Bank yang berpotensi meningkatkan kecekapan operasi dan penjimatan kos," katanya.


Firma tersebut turut mengenal pasti potensi lonjakan hasil pelaburan dalam suku-suku akan datang yang boleh menambah pendapatan secara luar biasa, terutama dalam persekitaran pasaran yang lebih stabil.


Nilai semasa saham LPI kini kata MBSB Research, diniagakan 2.55 kali ganda, iaitu masih lebih rendah berbanding purata 10 tahun sebanyak 2.79 kali, menunjukkan penilaian masih rendah berbanding sejarah.


Firma penyelidikan mengekalkan saranan 'beli', dengan harga sasaran disemak naik kepada RM15.70 daripada RM15.25, berdasarkan unjuran FY26 sebanyak 2.46 kali dan jangkaan pulangan ke atas ekuiti.


Secara keseluruhan, LPI kekal sebagai pilihan bertahan dengan asas kewangan kukuh dan profil dividen yang stabil, namun pelabur disaran berwaspada terhadap kemungkinan penyusutan harga saham. - DagangNews.com