Saham Yinson melonjak susulan laporan potensi diambil alih Stonepeak bernilai RM9 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Yinson melonjak susulan laporan potensi diambil alih Stonepeak bernilai RM9 bilion

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Jun — Saham Yinson Holdings Berhad hari ini melonjak ke paras tertinggi lima bulan susulan laporan berita kemungkinan ia diambil alih secara persendirian dalam potensi urus niaga yang bernilai RM9 bilion.


Firma perkhidmatan minyak dan gas itu menyaksikan sahamnya menokok 29 sen atau hampir 14 peratus kepada RM2.39, iaitu tertinggi sejak 24 Januari 2025 sebelum berhenti seketika untuk rehat tengah hari kepada RM2.35.


Keseluruhan dagangan kumpulan tersebut di Bursa Malaysia sebelum rehat menyaksikan sebanyak lebih sembilan juta saham telah bertukar tangan dan memberikannya nilai permodalan pasaran yang mencecah kira-kira RM6.54 bilion.

 

 

 

 


Terdahulu, Stonepeak Partners berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dilapor mengadakan rundingan eksklusif dengan keluarga Lim, yang memegang 26.6 peratus kepentingan dalam Yinson bagi mengambil alih syarikat itu.


Yinson bagaimanapun enggan mengulas mengenai kesahihan laporan tersebut yang dijangka sekiranya perjanjian itu berjaya, nilai kumpulan tersebut mampu melonjak sehingga AS$2.1 bilion (kira-kira RM8.88 bilion). 


Menurut data Bloomberg, berdasarkan sejumlah 2.78 bilion saham terkumpul Yinson, cadangan itu jika direalisasikan mampu membawa kepada nilai RM3.23 sesaham yang mewakili premium kira-kira 37.5 peratus dagangan.


Seorang penganalisis yang meliputi saham itu bagaimanapun berkata, sekarang kemungkinan bukan masa yang sesuai untuk menswastakan Yinson dan adalah agak mengejutkan jika Stonepeak meneruskan usaha pengambilalihan.


"Pengurusan Yinson masih lagi bersikap kekal yakin dengan prospek jangka panjang kumpulan itu, dan ada ruang untuk membuka kunci nilai selanjutnya dengan sentimen pasaran kekal positif secara amnya," kata beliau.


Daripada 10 penganalisis yang sering meliputi Yinson, semua mengesyorkan "beli" dengan purata harga sasaran selama 12 bulan ialah RM3.54 sesaham, dan membayangkan potensi pulangan 50.6 peratus daripada harga semasa.


Setakat tahun ini, harga saham Yinson telah turun lebih 10 peratus disebabkan kebimbangan mengenai kejatuhan hasil dan keuntungan dalam perniagaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC).


Situasi itu berlaku selepas ia berjaya menyelesaikan pembinaan dua projek utama untuk kapal jenis pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) namun Yinson menyasarkan hasil jangka panjang stabil.


Bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025, Yinson mencatatkan keuntungan bersih RM752 juta, turun 22 peratus tahun ke tahun, susulan hasil menyusut 38 peratus kepada RM7.6 bilion daripada RM11.65 bilion sebelumnya.


Bagaimanapun, syarikat itu menjangkakan pertumbuhan stabil, didorong oleh permintaan FPSO kukuh di Brazil dan rantau Afrika Barat dengan projek baharu iaitu FPSO Atlanta dan Agogo bermula tidak lama lagi. - DagangNews.com