Saham SumiSaujana berisiko jatuh disebabkan prestasi 9MFY25 jauh ketinggalan - Mercury Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham SumiSaujana berisiko jatuh disebabkan prestasi 9MFY25 jauh ketinggalan - Mercury Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Nov – Keputusan kewangan pada 9MFY25 yang dicatatkan SumiSaujana Group Berhad jauh di bawah jangkaan, mendorong Mercury Securities menurunkan unjuran hasil kumpulan berkenaan.


Firma penyelidikan itu turut mengurangkan harga sasaran sesaham syarikat kepada 8 sen daripada 14 sen sebelum ini dan mengekalkan saranan 'pegang' dengan menyatakan penilaian sahamnya masih mahal.


Penilaian ini dibuat walaupun harganya susut beberapa minggu lalu dengan prestasi sembilan bulan pertama jauh ketinggalan apabila hanya mencapai 35% daripada sasaran keuntungan setahun penuh.


"SumiSaujana mencatatkan 69% daripada unjuran hasil kami bagi FY25 dengan pelbagai punca dikenal pasti, antaranya pertumbuhan hasil lebih perlahan daripada jangkaan," kata Mercury Securities.


Situasi itu tambahnya, ekoran kelembapan pelaksanaan kontrak pembuatan bersama pengeluar di Amerika Syarikat (AS), serta permintaan lemah kesan geopolitik di beberapa pasaran Asia dan Timur Tengah.


Selain itu jelas firma berkenaan, penetapan harga kompetitif ketika syarikat cuba meraih bahagian pasaran serta campuran produk yang kurang menguntungkan turut memberi kesan negatif pada suku lalu.


Margin untung kasar turut terhakis ketara apabila susut kepada 28% berbanding 33% pada FY24, dengan margin keuntungan sebelum cukai (PBT) jatuh kepada hanya 5% daripada 13% dicatatkan pada FY24.


"Selepas kami menolak kerugian akibat aktiviti tukaran asing (forex) dan kos penyenaraian di Bursa Malaysia, PBT SumiSaujana yang diselaraskan dianggarkan mencecah sebanyak RM9.4 juta," tambahnya.


Secara suku tahunan (QoQ) pula kata Mercury Securities, hasil kumpulan berkenaan didapati meningkat kira-kira 18%, didorong permintaan lebih tinggi dari Malaysia, Indonesia dan negara-negara lain.


Penyampaian separa kontrak yang bernilai RM19.8 juta turut menjana pendapatan, namun untung kasar jatuh sebanyak 32% QoQ dengan margin merosot kepada 21% kerana tekanan harga dan campuran produk.


PBT pula menjunam 84% QoQ dengan margin hanya tinggal 1%, yang turut dipengaruhi pengukuhan ringgit terhadap perniagaan berasaskan dolar AS, manakala kadar cukai efektif didapati melonjak kepada 66%.


"Keadaan ini akibat perbelanjaan tidak boleh ditolak cukai serta cukai tertunda, dan susulan keputusan lemah ini, kami mengurangkan unjuran pendapatan FY25 dan FY26," kata Mercury Securities.


Anggaran pertumbuhan SumiSaujana daripada segmen pembuatan turut dipotong kepada -10%, manakala sumbangan menerusi segmen perkhidmatan sokongan dan perdagangan dinaikkan kepada sebanyak 25%.


Secara keseluruhan, firma itu menegaskan penilaian masih menuntut walaupun harga saham telah susut. dengan menjangka prospek sektor minyak dan gas adalah kekal stabil tetapi dinilai secara berhati-hati.


Ia ekoran pengurangan pelantar aktif di Asia Barat dan AS akibat isu geopolitik, namun kontrak pembuatan syarikat itu bersama pengeluar AS yang bermula Oktober 2025 dijangka menyumbang hasil 4QFY25. 


"Pengurusan SumiSaujana kini menumpukan peningkatan margin melalui penyelidikan dan pembangunan yang akan memulihkan untung kasar kembali ke paras 30% menjelang 2026," katanya. - DagangNews.com