KUALA LUMPUR 31 Okt - Southern Score Builders Berhad dijangka mencatat potensi kenaikan harga saham yang signifikan walaupun gagal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, lebih sebulan lalu.
Tambah TA Securities yang memulakan liputan ke atas syarikat tersebut, ia memberikan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 80 sesaham berdasarkan unjuran prospek kenaikan mencecah 37.8%.
Kekuatan syarikat itu katanya, disokong oleh buku tempahan belum dibil yang kukuh bernilai RM1.46 bilion setakat September 2025, serta sinergi daripada jualan hartanah dan banyak projek baharu.
"Southern Score juga mempunyai pendedahan tinggi kepada segmen pusat data (DC) yang berkembang pesat, dengan margin bersih dua digit secara mantap," jelas firma penyelidikan itu dalam notanya.
Ia merujuk kegagalan kumpulan itu memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran ACE kepada Pasaran Utama apabila permohonannya ditolak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 27 September 2025.
Syarikat berkenaan kata TA Securities, disenaraikan di Pasaran ACE pada November 2022 dengan harga tawaran awam permulaan (IPO) 55 sen, mula mengemukakan cadangan pemindahan sejak Oktober 2024.
Artikel berkaitan: SC tolak permohonan Southern Score pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia
Mengulas lanjut, firma itu menambah, bagi FY26 hingga FY28, pertumbuhan keuntungan teras Southern Score diramal masing-masing 88.3%, 30.7% dan 22.4%, berasaskan projek bernilai RM1 bilion setahun.
"Kami optimis dengan menilai buku tempahan yang belum dibil kumpulan ini adalah kukuh, dan margin bersih berupaya mencecah 13.2% bagi sepanjang tempoh tiga tahun kewangan tersebut," katanya lagi.
Dari segi penilaian pula jelas TA Securities, TP berdasarkan unjuran 16 kali keuntungan sesaham (EPS) pada 2027, sedikit diskaun berbanding sasaran 17 kali untuk Binastra Corporation Berhad.
Situasi itu tambahnya, mencerminkan saiz perniagaan Southern Score yang lebih kecil tetapi dengan asas kukuh dan pertumbuhan keuntungan yang jelas, walaupun tiada polisi dividen secara formal.
Bagaimanapun, ia yakin syarikat itu mampu mengagihkan dividen berpandukan rekod sejarah pembayaran sebelum ini sebanyak 1.5 sen hingga 2 sen bagi FY26 hingga FY28, yang bersamaan hasil 3.4%.
"Dengan prospek projek baharu dan pendedahan kepada segmen DC, kami menetapkan saranan 'beli' ke atas saham kumpulan ini dalam liputan penyelidikan pertama," kata TA Securities. - DagangNews.com








