KUALA LUMPUR 11 Nov – Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka mula sederhana menjelang penghujung 2025 selepas mencapai kemuncaknya pada suku ketiga tahun ini, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu menambah, keadaan tersebut merupakan suatu perkembangan yang boleh memberi kesan campuran termasuk implikasi lemah kepada saham-saham syarikat sektor perladangan tempatan.
Katanya, walaupun pengeluaran lebih rendah kebiasaannya akan membantu dalam menyokong harga MSM, lebihan stok semasa yang tinggi boleh mengekang kenaikan harga komoditi itu dalam jangka pendek.
"Kami difahamkan yang ketika ini pengeluaran sudah mencecah paras sejarah paling tinggi iaitu 6.5 tahun, dengan sebanyak 2.46 juta tan pada Oktober 2025," kata RHB Research dalam notanya hari ini.
Bagaimanapun jelas firma berkenaan, selepas berlaku peningkatan sebanyak 11% bulan ke bulan (MoM) pada Oktober 2025, pengeluaran MSM dijangka berkurangan pula mulai November dan Disember 2025.
Sementara itu katanya lagi, permintaan global kemungkinan besar turut mereda selepas berakhirnya musim perayaan utama, menyebabkan stok komoditi berkenaan adalah kekal melebihi dua juta tan.
Justeru, RHB Research menjangkakan keputusan kewangan suku ketiga 2025 bagi kebanyakan syarikat perladangan seiring jangkaan, disokong oleh harga MSM yang lebih tinggi dan pengeluaran kukuh.
"Harga semasa MSM di Malaysia didapati meningkat 5% suku ke suku (QoQ) kepada RM4,280 satu tan, manakala harga isirung sawit (PK) naik 2% kepada RM3,460 satu tan," tambah firma tersebut.
Pengeluaran buah tandan segar (BTS) bagi syarikat Malaysia di bawah liputannya naik 12.5% QoQ, sementara syarikat Indonesia mencatatkan pengeluaran mendatar dengan kenaikan harga MSM bersih 5%.
Secara tahunan (YoY) pula kata RHB Research, pendapatan sektor berkenaan dijangka meningkat dengan harga bagi MSM dan PK masing-masing dikenal pasti berkeupayaan untuk naik sebanyak 7% dan 31%.
Walaupun output BTS kekal mendatar, data Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI) menunjukkan peningkatan 13% YoY bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, lebih tinggi daripada unjuran awal.
"Kami menjangkakan lima syarikat akan mencatat keputusan sejajar jangkaan, manakala empat lagi mungkin di bawah jangkaan berikutan output yang sederhana," kata firma penyelidikan berkenaan.
Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham sektor perladangan, dengan andaian harga MSM adalah sebanyak RM4,350 satu tan bagi 2025 dan RM4,250 bagi 2026.
Saham kegemaran firma itu termasuk Johor Plantations Group, Sarawak Oil Palms, IOI Corporation, London Sumatra Indonesia, SD Guthrie Berhad dan First Resources. - DagangNews.com








