KUALA LUMPUR 30 Sept – MBSB Research menaik taraf saranan kepada 'beli' bagi saham PPB Group Berhad susulan penyelesaian kes mahkamah membabitkan syarikat bersekutu, Wilmar International Ltd.
Firma penyelidikan itu turut menyemak semula harga sasaran kepada RM11.02 dan berkata, sebahagian besar risiko jangka pendek diambil kira dalam penilaian harga semasa saham kumpulan tersebut.
Katanya, situasi itu selepas berakhir pembayaran pampasan berjumlah AS$708.9 juta (kira-kira RM3.2 bilion) kepada Indonesia, sekali gus menjadikan penilaian PPB menarik meskipun kelihatan di bawah nilai.
“Kami melihat prospek jangka panjang FY26 hingga FY27 masih kukuh, disokong pemulihan sumbangan Wilmar sendiri dan prestasi kukuh pelbagai segmen utama PPB,” kata MBSB Research dalam notanya.
Kumpulan itu semalam mengesahkan Wilmar dengan PPB memiliki 18.8% pegangan, menerima keputusan akhir mahkamah memerintahkan lima anak syarikatnya membayar pampasan kepada kerajaan Indonesia.
Kesemua bayaran tersebut jelas firma penyelidikan itu, sudah pun disalurkan terus ke Pejabat Peguam Negara Indonesia dan kemudian akan dipindahkan ke Perbendaharaan Negara berkenaan.
Menurut MBSB Research, pampasan besar itu akan mengubah keputusan kewangan Wilmar bagi tempoh 3QFY25 menjadi kerugian bersih, namun sebenarnya situasi ini tidak memberi kesan berpanjangan.
Artikel berkaitan: Wilmar didenda RM3.19 bilion, PPB yakin kekal untung setahun hasil sumbangan kumpulan
"Begitu juga hukuman denda tambahan sebanyak AS$298,000 (kira-kira RM1.3 bilion) yang dianggap sebagai tidak material terhadap pendapatan keseluruhan kumpulan berkenaan," kata firma tersebut.
Ekoran itu, ia menyemak unjuran hasil Wilmar bagi FY25 turun 49.3% kepada AS$730.2 juta (RM3.07 bilion), manakala keuntungan PPB bagi tempoh sama turut disemak susut 38.1% kepada RM778.4 juta.
Ramalan dividen juga diturunkan MBSB Research kepada sebanyak 25 sen esaham, menjadikan hasil dividen sekitar 2.5% dengan prestasi segmen perladangan dan gula dijangka masih kekal sederhana.
Selain itu, firma penyelidikan tersebut menjangkakan sumbangan pendapatan Wilmar akan kembali pulih, terutamanya hasil pemulihan margin dalam segmen bijirin dan perniagaan pertanian komersial.
"Langkah pengurusan kos input secara berhemah dijangka membantu pemulihan margin penapisan dan pengeluaran dengan harga gandum pula diramal turun sebanyak 6.2% suku ke suku," katanya lagi.
Secara keseluruhan kata MBSB Research, perniagaan teras PPB dijangka mengekalkan keuntungan operasi melebihi RM360 juta setahun bagi tempoh tiga tahun akan datang. - DagangNews.com








