Saham Milolo catat kenaikan 20% pada penampilan sulung di Pasaran LEAP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Milolo catat kenaikan 20% pada penampilan sulung di Pasaran LEAP

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 4 Mei – Saham Milolo Berhad meningkat 20% pada hari pertama dagangan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia, mencerminkan minat kukuh pelabur terhadap industri ‘alat permainan’ tempatan.


Kaunter tersebut dibuka pada harga 12 sen berbanding harga rujukan penyenaraian terbitan awam permulaan (IPO) 10 sen, menandakan permulaan positif bagi syarikat di bawah kod simbol 'MILOLO'.


Pengarah Urusannya, Millan Lee berkata, penyenaraian itu membuka lembaran baharu syarikat, sekali gus memperkukuh keupayaan untuk memanfaatkan peluang industri mainan pereka dan barangan koleksi.


“Dengan kehadiran runcit yang semakin berkembang serta portfolio harta intelek, kami berada dalam kedudukan kukuh bagi meraih permintaan yang meningkat di Malaysia dan luar negara,” kata beliau.


Milolo merancang untuk membuka sehingga lima cawangan runcit di Semenanjung Malaysia dalam tempoh dua tahun, selain meneroka pengembangan ke pasaran serantau termasuk Thailand, Indonesia dan China.

 

Milolo_DagangNews


Syarikat itu mengumpul RM3.5 juta dalam dua pelaksanaan langganan saham persendirian pada Februari 2026, yang sebahagian besar digunakan untuk pengembangan rangkaian runcit dan harta intelektual.


Bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, Milolo mencatatkan lonjakan hasil 68.35% kepada RM11.33 juta, dan keuntungan bersih meningkat kepada RM1.82 juta berbanding RM0.09 juta sebelumnya.


"Pada ketika ini, Milolo mengendalikan 10 cawangan runcit di pusat beli-belah utama termasuk 1 Utama Shopping Centre, Pavilion Bukit Jalil, Mid Valley Megamall dan Sunway Pyramid," ujarnya lagi.


Selain jenamanya sendiri katanya, syarikat berkenaan menurut kenyataan tersebut, turut menjual pelbagai produk daripada banyak jenama popular antarabangsa seperti Pop Mart, Top Toy dan Funism.


Milolo turut menyasarkan penyenaraian lebih tinggi Bursa Malaysia pada masa depan, termasuk Pasaran ACE dan seterusnya Pasaran Utama, sebagai sebahagian pelan pertumbuhan. - DagangNews.com