Saham merudum lebih 50%: Zetrix AI nafi kaitan dengan kes rasuah bekas menteri M Saravanan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham merudum lebih 50%: Zetrix AI nafi kaitan dengan kes rasuah bekas menteri M Saravanan

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Zetrix AI Berhad berkata syarikat itu tidak terbabit atau mempunyai sebarang kaitan dengan bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berhubung tiga pertuduhan rasuah berkaitan kelulusan kuota pekerja asing pada 2022.

 

Penjelasan itu dibuat selepas harga saham Zetrix AI menjunam lebih 50% dalam dagangan luar biasa pada Jumaat, ketika timbul khabar angin dan spekulasi yang mengaitkan syarikat berkenaan dengan pertuduhan terhadap Saravanan.

 

Zetrix AI berkata, pihaknya memahami bahawa khabar angin atau spekulasi tidak berasas itu mungkin menyumbang kepada aktiviti dagangan sahamnya.

 

“Syarikat ingin menjelaskan bahawa ia tidak terbabit atau dikaitkan dalam apa-apa cara sekalipun dengan bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, berhubung tiga pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadap beliau pada 28 Ogos 2026 di Mahkamah Sesyen berkaitan kelulusan kuota pekerja asing,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Syarikat itu turut menegaskan tiada asas kepada khabar angin atau spekulasi berkenaan dan pihaknya tidak mengetahui sebarang kaitan antara pertuduhan tersebut dengan perniagaan serta hal ehwal Kumpulan Zetrix AI.

 

Bursa keluarkan pertanyaan UMA

Zetrix AI, yang sebelum ini dikenali sebagai MyEG Services Bhd, memberikan penjelasan itu selepas Bursa Malaysia Securities Bhd mengeluarkan pertanyaan Aktiviti Pasaran Luar Biasa (UMA) susulan kejatuhan mendadak harga saham dan volum dagangan yang tinggi.

 

Bursa meminta syarikat membuat semakan dengan Lembaga Pengarah, pemegang saham utama dan pihak berkaitan bagi mengenal pasti sama ada terdapat sebarang perkembangan korporat, khabar angin atau faktor lain yang boleh menjelaskan pergerakan luar biasa tersebut.

 

Zetrix AI berkata, selepas membuat semakan sewajarnya, syarikat tidak mengetahui sebarang perkembangan korporat yang belum diumumkan, termasuk perkara yang masih pada peringkat rundingan atau perbincangan, yang boleh menjelaskan aktiviti dagangan itu.

 

Syarikat itu juga mengesahkan pematuhannya terhadap Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities, termasuk kewajipan pendedahan segera di bawah Perenggan 9.03.

 

Hampir RM2.4 bilion nilai pasaran terhakis

Pada penutupan pasaran 28 Ogos 2026, saham Zetrix AI berakhir pada 29.5 sen, merosot 30 sen atau 50.42% berbanding 59.5 sen pada sesi sebelumnya.

 

Kejatuhan itu menyebabkan hampir RM2.4 bilion nilai permodalan pasaran syarikat terhakis, dengan nilai pasarannya berada sekitar RM2.38 bilion pada harga 29.5 sen.

 

Zetrix AI merupakan kaunter paling aktif di Bursa Malaysia pada Jumaat dengan kira-kira 1.05 bilion saham bertukar tangan. Kejatuhan sehingga had bawah itu turut menyebabkan Bursa menggantung jualan singkat intrahari (IDSS) bagi saham berkenaan untuk baki sesi dagangan.


 

HeitechPadu

 


HeiTech Padu turut terjejas

Pada masa sama, saham HeiTech Padu Bhd turut mengalami tekanan jualan, jatuh sehingga 30% kepada paras terendah intrahari 87.5 sen sebelum mengurangkan sebahagian kerugiannya.

 

Zetrix AI mempunyai kepentingan tidak langsung sebanyak 16.9% dalam HeiTech Padu.

 

Saravanan, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta berkaitan kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi TYKB Engineering Sdn Bhd pada 2022.

 

Bagi dua pertuduhan pertama, beliau didakwa menerima wang tunai RM150,000 dan RM350,000 daripada Pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim melalui Syed Amirul Syed Ahmad.

 

Bagi pertuduhan ketiga, beliau didakwa menerima RM597,000 melalui cek bank yang didepositkan ke dalam akaun Big Seven Ventures Sdn Bhd bagi tujuan sama.

 

Saravanan mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. - DagangNews.com