KUALA LUMPUR 12 Jan — Saham ISF Group Berhad berpotensi mencapai paras 42 sen sesaham selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia bermula 28 Januari 2026, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, faktor positif itu dipacu oleh prospek pertumbuhan jangka panjang pasaran dalam permintaan terhadap sistem paip air dan perkhidmatan penyelenggaraan.
Jelasnya, kumpulan perkhidmatan rumusan paip air berpusat di Pontian, Johor itu, terlibat dalam bekalan dan pemasangan sistem untuk premis pengguna serta infrastruktur bekalan dan pembetungan.
"Kami menilai prospek ISF Group yang turut aktif dalam menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan sistem paip air di Semenanjung Malaysia," kata TA Securities dalam notanya hari ini.
Pada 8 Januari 2026, syarikat itu membuka tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan sejumlah 185.3 juta saham baharu dan kira-kira 90 juta saham untuk tawaran jualan pada harga 33 sen sesaham.
Bilangan tersebut mewakili 27.5% modal diterbitkan selepas IPO berkenaan, dengan tawaran terbuka untuk pelabur awam, pihak berkelayakan serta pelabur terpilih disenaraikan termasuk Bumiputera.
Menurut TA Securities, ISF Group memiliki kelebihan kompetitif, antaranya pertumbuhan keuntungan mantap disokong permintaan perkhidmatan paip, serta rancangan pengembangan geografi dan kapasiti.
"Kami difahamkan ia merancang membuka pejabat wilayah tengah sama ada di Selangor atau Negeri Sembilan, serta satu lagi di Pulau Pinang bagi menyokong pelaksanaan projek di utara," katanya.
Penilaian wajar kumpulan berkenaan jelas firma penyelidikan itu, ditetapkan 42 sen sesaham berdasarkan unjuran nisbah harga kepada pendapatan (PER) 17 kali perolehan sesaham (EPS) pada CY26.
TA Securities menambah, nilai tersebut mencerminkan diskaun 10% berbanding purata sektor pembinaan dan potensi kenaikan harga saham ISF Group dalam tempoh 12 bulan akan datang. - DagangNews.com








