KUALA LUMPUR 7 Jan — TA Securities menegaskan saham Inta Bina Group Berhad kini diniagakan pada paras terlalu rendah nilai, terutamanya akibat faktor tekanan sentimen pasaran yang lemah.
Firma penyelidikan tersebut menambah, keadaan saham semasa kumpulan berkenaan pada masa ini bukannya disebabkan oleh kelemahan dalam asas perniagaan syarikat pembinaan itu sendiri.
Jelasnya, walaupun kumpulan itu mencatat prestasi kewangan yang kukuh dengan pertumbuhan teras pendapatan 16.8% tahun ke tahun (YoY) bagi 9MFY25, harga sahamnya pula merosot sekitar 24.5% YoY.
"Penyusutan ini didorong isu luaran termasuk persekitaran pasaran berisiko rendah, ketidaktentuan global serta kecenderungan pelabur beralih kepada syarikat bermodal besar," kata TA Securities.
Dari sudut operasi, Inta Bina menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila segmen pembangunan hartanah melonjak 195.3% YoY, manakala segmen pembinaan kekal stabil dengan pertumbuhan 6.0% YoY.
Bagaimanapun tambah firma penyelidikan berkenaan, sentimen pasaran yang terlalu berhati-hati menyebabkan penilaian saham kumpulan itu terus tertekan walaupun asas perniagaan masih kukuh.
Syarikat tersebut kata TA Securities, memperoleh kontrak baharu bernilai RM865.2 juta bagi FY25, yang rendah di bawah sasaran RM1.0 bilion akibat kelewatan pelancaran banyak projek oleh pemaju.
"Kelewatan ini namun dilihat lebih bersifat sementara dengan potensi lonjakan perolehan kontrak pada FY26, disokong oleh buku tender sekitar RM4.5 bilion daripada pelanggan yang sedia ada," jelasnya.
Dari segi penilaian, Inta Bina kini diniagakan pada hanya 5.2 kali nisbah Harga kepada pendapatan (P/E) CY26, diskaun besar berbanding purata rakan setara dan Indeks Pembinaan Kuala Lumpur.
Berdasarkan perkembangan tersebut, TA Securities berpendapat yang jurang penilaian ini adalah berlebihan dan tidak mencerminkan prospek pendapatan sebenar dicatatkan oleh kumpulan berkenaan.
Ia menurunkan harga sasaran kepada 84 sen, susulan semakan kecil unjuran hasil, tetapi mengekalkan saranan 'beli' dengan pandangan saham syarikat tersebut menawarkan peluang pelaburan menarik.
"Secara keseluruhan, saham Inta Bina berpotensi untuk penarafan semula apabila sentimen pasaran bertambah baik dalam jangka panjang," kata firma berkenaan. - DagangNews.com








