KUALA LUMPUR 8 Mei – Sentimen positif pelabur terhadap Inspace Creation Berhad menyaksikan kenaikan saham kumpulan itu sebanyak 6% pada penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Saham syarikat hiasan dalaman itu dibuka pada 26.5 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 25 sen sesaham sebelum naik kepada 29 sen dalam tempoh kurang dua minit selepas dagangan.
Setakat pukul 9.15 pagi, saham itu diniagakan pada 27.5 sen dengan sebanyak 32.3 juta saham bertukar tangan, menjadikan permodalannya bernilai RM102 juta berdasarkan harga pasaran semasa.
Permintaan terhadap saham Inspace Creation sebelum penyenaraian juga amat baik apabila bahagian awam dilanggan lebih 70 kali, antara tertinggi bagi syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE.
Kumpulan beribu pejabat di Kuala Lumpur itu menyediakan perkhidmatan pemasangan dalaman meliputi perancangan dan pengurusan projek, reka bentuk konsep dan pembinaan serta kerja penyelenggaraan.
Sehingga 31 Mac 2026, syarikat itu mempunyai buku tempahan yang belum dibilkan kira-kira RM30.28 juta, dan bagi tahun kewangan 2025, ia juga mencatat peningkatan 36.1% hasil kepada RM78.6 juta.
Daripada hasil IPO itu, sebanyak RM6 juta akan digunakan bagi membangunkan kemudahan gudang dan fasiliti pelanggan di Lembah Klang, manakala RM2.74 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank.
Sementara sejumlah RM4.39 juta pula bakal dijadikan sebagai modal kerja, dan Inspace Creation turut memperuntukkan kira-kira RM4 juta bagi menampung perbelanjaan penyenaraian di bursa itu.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutifnya, Wong Chong Siong bersama-sama Conceptual Holdings Sdn Bhd akan menerima hasil daripada penjualan saham sedia ada menerusi permodalan IPO tersebut.
Pada harga IPO 25 sen sesaham, ia diniagakan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 11 kali berdasarkan keuntungan bersih RM8.11 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2025. - DagangNews.com








