Saham Inspace ada potensi naik 44% selepas disenaraikan pada 8 Mei 2026 — Malacca Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Inspace ada potensi naik 44% selepas disenaraikan pada 8 Mei 2026 — Malacca Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 April — Prospek kenaikan sehingga 44% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) dilihat menjadi tarikan utama bagi Inspace Creation Berhad menjelang penyenaraian di Pasaran ACE.


Menurut Malacca Securities, saham penyedia perkhidmatan pemasangan pengubahsuaian dalaman pejabat dan hartanah komersial itu memiliki potensi besar sejurus didagangkan bermula 8 Mei 2026.


Firma penyelidikan itu menetapkan nilai saksama (FV) 36 sen sesaham berbanding harga IPO 25 sen, disokong pertumbuhan hasil konsisten dan permintaan berterusan menerusi segmen hiasan dalaman.


“Inspace dijangka mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) keuntungan 14.3% dalam masa tiga tahun, dengan keuntungan bersih teras mencecah antara RM10 juta hingga RM12.1 juta,” katanya.


Tambah Malacca Securities dalam notanya, pertumbuhan tersebut dipacu oleh permintaan berterusan terhadap pengoptimuman ruang pejabat serta strategi pengembangan sektor dan geografi syarikat itu.


Kumpulan itu ujarnya, ketika ini memberi tumpuan lebih kepada hartanah pejabat komersial di Lembah Klang, termasuk aspek perancangan projek, reka bentuk, serta kerja mekanikal dan elektrikal (M&E). 


Selain itu, Inspace turut menawarkan perkhidmatan secara menyeluruh antaranya pemasangan sistem teknologi maklumat (IT) serta penyelenggaraan selepas projek siap, berbanding pesaing yang lain.


"Model perniagaan kumpulan ini kekal relevan dalam pelbagai keadaan pasaran, termasuk ketika ia mengecilkan operasi, dengan keperluan untuk mengoptimumkan ruang pejabat masih wujud." jelasnya.


Kata Malacca Securities, walaupun ketika era ketidaktentuan seperti wabak Covid-19, masih ada lagi permintaan daripada sektor tertentu seperti logistik, di samping syarikat dengan modal kecil.


Pada masa sama, status Inspace sebagai kontraktor Gred G7 membolehkannya membida projek tanpa had nilai kontrak, memberikannya kelebihan terutama pelanggan korporat dan syarikat multinasional.


Dalam usaha memperluaskan sumber pendapatan, kumpulan berkenaan turut merancang untuk menembusi pasaran luar Lembah Klang serta segmen baharu seperti hotel, ruang awam dan galeri pameran.


"Ia juga bercadang memiliki kemudahan simpanan bagi meningkatkan kecekapan kos melalui pembelian pukal, serta membantu pelanggan membuat keputusan dengan lebih cepat," kata Malacca Securities.


Dari segi pasaran, Inspace menguasai 1.3% daripada industri bernilai RM6.2 bilion, dengan potensi pertumbuhan disokong peningkatan aktiviti hartanah komersial, dan pelaburan langsung asing (FDI). 


Bagi tahun kewangan 2025, kumpulan itu mencatat hasil RM78.6 juta, meningkat 36.1% tahun ke tahun (YoY), manakala keuntungan bersih naik kepada RM8.1 juta didorong pemulihan pelbagai sektor.


Bagaimanapun, Malacca Securities mengingatkan beberapa risiko termasuk kebergantungan besar kepada projek baharu untuk mengekalkan buku tempahan, dan kemungkinan ada lebihan kos projek tertentu.


"Inspace perlu mengurangkan pergantungan tinggi kepada subkontraktor yang boleh menjejaskan prestasi sekiranya berlaku kelewatan atau isu kualiti," katanya. - DagangNews.com