Saham E&O berpotensi cecah 87 sen didorong minat pembeli Timur Tengah ke atas hartanah di Pulau Pinang, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham E&O berpotensi cecah 87 sen didorong minat pembeli Timur Tengah ke atas hartanah di Pulau Pinang, kata HLIB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 22 April — Ketegangan di Timur Tengah berpotensi meningkatkan aliran modal ke negara ini, sekali gus merangsang permintaan daripada pelabur ke atas hartanah mewah di Pulau Pinang.


Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), situasi itu dijangka memberi limpahan positif kepada Eastern & Oriental Berhad (E&O) yang memiliki banyak hartanah dengan kos mahal di negeri tersebut.


Tambah firma itu, keadaan kali ini menarik minat pembeli berprofil tinggi dari rantau tersebut mencari lokasi pelaburan yang lebih stabil, sekali gus mengukuhkan prospek segmen hartanah premium negara.


"Dari sudut teknikal, saham E&O dilihat menunjukkan isyarat pemulihan apabila berjaya menembusi garis aliran menurun dan kembali berada di atas purata pergerakan utama," jelasnya dalam nota.


Perkembangan itu ujar HLIB, mencerminkan momentum kenaikan kukuh, dengan penembusan di atas paras 77 sen berpotensi membuka ruang kenaikan hingga 87 sen, disokong oleh indikator teknikal positif.


Firma berkenaan turut menegaskan penilaian saham E&O kekal menarik pada sekitar tujuh kali unjuran hasil FY27, jauh lebih rendah berbanding purata sektor hartanah Bursa Malaysia sekitar 12.3 kali.


Dari segi asas, E&O kekal sebagai pemaju hartanah premium dengan margin keuntungan bersih melebihi 20%, mengatasi purata industri antara 10% hingga 15%, disebabkan kedudukan pasaran eksklusif.

 

E&O_DagangNews


"Antara projek utama termasuk pembangunan di Sri Tanjung Pinang, dan Pulau Andaman di Pulau Pinang, serta The Mews KLCC dan Conlay di ibu negara, yang terus menjadi pemacu utama hasil," kata HLIB.


Jelasnya, projek Pulau Andaman dijangka kekal sebagai pemangkin nilai dengan sokongan cadangan pembangunan Penang International Financial Centre (PIFC) bernilai RM10 bilion di kawasan tersebut.


Pusat kewangan bertaraf antarabangsa itu ujar firma tersebut, berpotensi besar menjadi pemangkin tambahan kepada permintaan hartanah mewah di Pulau Pinang, terutama dalam kalangan pelabur asing.


E&O ujar HLIB, masih lagi memiliki bank tanah seluas 575 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM66 bilion, yang menyediakan keterlihatan pelancaran projek melebihi 30 tahun.


"Walaupun prospek kekal positif, kami mengingatkan beberapa risiko termasuk kebergantungan tinggi kepada pasaran Pulau Pinang, dan cabaran kemampuan pembeli bagi hartanah kos premium," katanya.


Bagaimanapun, firma itu melihat syarikat tersebut berada pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan aliran modal global dan permintaan berterusan dalam segmen hartanah mewah negara. - DagangNews.com