KUALA LUMPUR 21 Okt – EcoWorld Development Group Berhad terus mengukuh kehadiran di Semenyih, Selangor dengan pengambilalihan tanah baharu untuk pembangunan komersial, kata MBSB Research.
Bagaimanapun tambahnya, penilaian semasa saham EcoWorld dilihat masih mahal, apabila diniagakan pada premium sekitar 25% berbanding Nilai Aset Ketara (NTA) yang terkini sebanyak RM1.70 sesaham.
Ia mengekalkan saranan 'neutral' ke atas saham EcoWorld dengan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada RM2.19 sesaham, bersandarkan diskaun 10% ke atas penilaian nilai aset bersih terlaras (RNAV).
"Walaupun kami melihat prospek hasil kukuh daripada pelancaran projek dan penambahan rizab tanah, pelabur perlu berwaspada kerana penilaian saham semasa agak tinggi," katanya dalam satu nota.
Perkembangan tersebut menurut MBSB Research, dianggap sebagai sudah pun mencerminkan kebanyakan potensi pertumbuhan jangka sederhana syarikat pemaju hartanah berkenaan sendiri yang agak kukuh.
Pada 17 Oktober 2025, EcoWorld melalui Mutiara Balau Sdn Bhd memeterai jual beli bersyarat dengan Boustead Balau Sdn Bhd untuk pemerolehan 9.2 hektar tanah pegangan bebas komersial di Semenyih.
Ia bernilai tunai RM82.2 juta dan urus niaga ini dijangka selesai pada suku pertama tahun kalendar 2026, dengan tanah tersebut pula terletak hanya bersebelahan projek Eco Radiance milik EcoWorld.
"Langkah ini memperkukuh keseluruhan perancangan pembangunan di kawasan strategik itu. Semenyih kini muncul sebagai lokasi tumpuan baharu di koridor selatan Lembah Klang," kata MBSB Research.
EcoWorld membeli 343 hektar tanah pada November 2024 untuk Eco Radiance dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4.6 bilion, dan pengambilalihan terkini menjadikan ia meningkat kepada 352 hektar.
Firma penyelidikan tersebut menganggarkan GDV meningkat kepada RM5.16 bilion dengan pembangunan atas tanah baharu itu dijangka merangkumi komponen hartanah komersial dan pangsapuri servis.
Ini kata MBSB Research, termasuk perumahan mampu milik, dengan GDV dianggarkan mencecah RM560 juta, dan nisbah kos tanah kepada GDV adalah 15%, satu tahap yang menarik dari sudut komersial.
"Pengambilalihan ini dibiayai melalui gabungan pinjaman bank dan dana dalaman, Kami menjangkakan penggearan bersih meningkat kepada 0.55 kali daripada 0.53 kali pada suku ketiga FY25," katanya.
Tahap berkenaan jelasnya, dijangka kekal tinggi buat masa ini, sebahagiannya disebabkan pembinaan pusat data (DC), namun ia menjangkakan penggearan menurun secara berperingkat bermula pada FY27.
MBSB Research menyifatkan harga pengambilalihan tanah komersial itu sebanyak RM83 sekaki persegi, jauh lebih tinggi berbanding cuma RM20 sekaki persegi untuk tanah Eco Radiance yang sebelumnya.
Keadaan tersebut namun jelas firma penyelidikan berkenaan, mencerminkan nilai premium yang tinggi kerana lokasi tamah itu menghadap jalan utama serta potensi pembangunan positif jangka panjang.
"Meskipun prospek jangka sederhana kelihatan baik, khususnya projek Eco Radiance dan sumbangan segmen hartanah mampu milik, kami berpendapat penilaian semasa saham tidak menarik," katanya.
Secara am, saham syarikat itu kini diniagakan pada paras 25% lebih tinggi daripada NTA, yang menunjukkan sebahagian besar potensi pertumbuhannya sudah pun diambil kira dalam harga pasaran.
Selain itu, MBSB Research mengemaskini RNAV dengan mengambil kira sumbangan pengambilalihan tanah baharu ini, namun unjuran pendapatan bagi FY25 hingga FY27 kekal tidak berubah. - DagangNews.com








