KUALA LUMPUR 8 Mei – Saham Cloudpoint Technology Berhad berpeluang meningkat sehingga 82% selepas ia mengambil alih penuh ekuiti syarikat rumusan pengalaman pelanggan, CX One Sdn Bhd.
Menurut analisis RHB Research, pembelian yang bernilai RM16.8 juta itu melengkapkan transformasi digitalnya dalam usaha mengukuhkan kedudukan segmen teknologi kecerdasan buatan (AI) perusahaan.
Berdasarkan situasi itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 99 sen sesaham sambil menyifatkannya langkah strategik yang mampu mempercepatkan pertumbuhan hasil.
“CX One memiliki kepakaran komunikasi bersepadu, pusat hubungan pelbagai saluran, aplikasi chatbot AI dan platform penglibatan pelanggan yang melengkapkan kekuatan sedia ada Cloudpoint," jelasnya.
Pengambilalihan berkenaan ujar RHB Research, turut memperkukuhkan kumpulan berkenaan yang pakar dalam aspek operasi rangkaian, keselamatan siber, serta perkhidmatan teknologi awan dan AI.
Urus niaga itu turut membuka peluang jualan silang kepada pelanggan industri kedua-dua syarikat khususnya dalam sektor perbankan dan korporat besar yang kini giat mempercepatkan penggunaan AI.
Artikel berkaitan: Cloudpoint beli 100% ekuiti CX One bernilai RM16.8 juta perkukuh rantaian rumusan digital berasaskan AI

Transformasi pusat hubungan pelanggan kini menjadi antara penggunaan AI paling praktikal serta berkembang pesat kerana Cloudpoint mahu meningkatkan automasi operasi dan pengalaman pelanggan.
"Kami juga berpandangan pengambilalihan 100% pegangan CX One akan meningkatkan keupayaan kumpulan itu menjana hasil berulang dan memasuki segmen margin lebih tinggi," kata RHB Research.
Dengan peningkatan permintaan terhadap automasi AI, sistem penglibatan pelanggan dan platform berasaskan awan, ia dijangka berada pada kedudukan baik untuk memperoleh kontrak berskala besar.
Di samping itu tambahnya, urus niaga Cloudpoint tersebut turut disokong jaminan keuntungan terkumpul RM7.45 juta bagi FY26 hingga FY28, sekali gus membantunya bagi mengurangkan risiko pelaksanaan.
Sehubungan itu, RHB Research masih mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan berkenaan serta TP, sementara menunggu pengesahan mengenai tempoh penyempurnaan bagi pengambilalihan tersebut.
"Bagaimanapun, antara risiko utama kepada kumpulan ini termasuk kehilangan pelanggan utama, persaingan industri dan kelewatan pelaksanaan projek," katanya. - DagangNews.com








