KUALA LUMPUR 12 Jun – Capital A Bhd menjelaskan tindakan Mahkamah Singapura menyita pegangan sahamnya dalam BigPay Pte Ltd dan Teleport Everywhere Pte Ltd (TES) tidak memberi kesan kerugian tambahan kepada kumpulan itu.
Move Digital Sdn Bhd, anak syarikat Capital A menerima notis penyitaan ke atas pegangan 99.56% dalam BigPay dan 11.45% dalam TES bagi menguatkuasakan keputusan timbang tara yang mengarahkan syarikat itu membayar AS$14.74 juta (RM59.9 juta) kepada dua pengasas bersama BigPay.
Bagaimanapun, Capital A berkata liabiliti berkaitan tuntutan tersebut telah direkodkan dalam penyata kewangan kumpulan sejak tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, justeru tiada kerugian baharu dijangka timbul susulan tindakan berkenaan.
Penjelasan itu dibuat dalam jawapan kepada pertanyaan Bursa Malaysia selepas Capital A pada Selasa lalu memaklumkan bahawa Move Digital telah menerima notis penyitaan melibatkan pegangan sahamnya dalam kedua-dua syarikat berkenaan.
Tindakan tersebut bertujuan menguatkuasakan sebahagian keputusan timbang tara yang mengarahkan Move Digital membeli pegangan saham minoriti dalam BigPay yang dimiliki pengasas bersamanya, Christopher Davison dan Navin Rajagopalan.
Pertikaian itu bermula pada 2021 apabila kedua-dua pengasas berkenaan memulakan prosiding timbang tara terhadap AirAsia Digital, yang kini dikenali sebagai Move Digital, AirAsia Bhd dan BigPay.
ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Singapura keluarkan perintah sita pegangan Capital A dalam BigPay, Teleport
Mereka mendakwa berlaku pelanggaran kontrak serta penindasan terhadap pemegang saham minoriti selepas AirAsia Digital menamatkan beberapa perjanjian berkaitan pelaburannya dalam BigPay.
Dalam tuntutan asal, kedua-dua pengasas tersebut memohon supaya AirAsia Digital diwajibkan membeli pegangan mereka pada nilai antara AS$140 juta hingga AS$183 juta (RM624 juta hingga RM816 juta).
Bagaimanapun, tribunal timbang tara pada Disember 2024 memutuskan bahawa AirAsia Digital hanya perlu membeli pegangan saham tersebut pada harga AS$14.74 juta (RM59.9 juta).
Capital A turut menjelaskan bahawa TES dan BigPay tidak diklasifikasikan sebagai subsidiari utama kerana kedua-duanya tidak menyumbang lebih 70% kepada keuntungan sebelum cukai atau jumlah aset kumpulan berdasarkan penyata kewangan teraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Sehingga tarikh sama, kos pelaburan Capital A dalam TES berjumlah RM11.5 juta manakala pelaburan dalam BigPay bernilai RM287.3 juta. Nilai buku bersih TES dan BigPay masing-masing berada pada paras negatif AS$21 juta dan negatif RM502 juta.
Capital A memiliki 76.86% kepentingan dalam TES yang terdiri daripada pegangan langsung sebanyak 65.41% dan 11.45% menerusi Move Digital. Bagi BigPay pula, kumpulan itu memiliki 99.56% kepentingan melalui Move Digital.
Syarikat itu berkata, saham yang disita akan kekal dibekukan sementara menunggu keputusan terhadap bantahan yang akan difailkan oleh Move Digital di mahkamah Singapura sebelum 23 Jun 2026. - DagangNews.com








