KUALA LUMPUR 23 Feb – Saham Autocount Dotcom Berhad akan dipindahkan dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama bermula 25 Februari 2026, menurut Bursa Malaysia Securities Berhad.
Pemindahan ini dijadualkan berlaku bermula pukul 9 pagi di bawah sektor Teknologi. Singkatan saham (ADB) dan nombor saham syarikat (0276) kekal tidak berubah.
Langkah ini menandakan perkembangan positif bagi Autocount Dotcom Berhad, kerana Pasaran Utama menempatkan syarikat yang lebih besar dan stabil, menawarkan pengiktirafan serta likuiditi lebih tinggi kepada pelabur.
Pemindahan ke Pasaran Utama dijangka memperluas pangkalan pelabur syarikat, terutama kalangan pelabur institusi yang biasanya tidak dibenarkan melabur di Pasaran ACE.
Baru-baru ini, Pengurus Besar AutoCount, YT Choo berkata langkah ini adalah pengiktirafan terhadap perjalanan pertumbuhan syarikat.
“Kami menunjukkan prestasi kewangan yang kukuh. Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, AutoCount mencatat pendapatan sebanyak RM61.38 juta dan keuntungan selepas cukai RM27.41 juta, meningkat 90.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Peningkatan keuntungan ini didorong oleh permintaan yang tinggi terhadap perisian digital dan e Invois dalam kalangan perniagaan kecil dan sederhana di Malaysia.
“Syarikat turut mengekalkan aliran tunai yang sihat dan komitmen untuk memberikan nilai kepada pemegang saham,” katanya.
Syarikat itu membangunkan semua perisian secara dalaman dan menjualnya melalui pengedar sah serta pasukan jualan dalaman.
Produk AutoCount merangkumi penyelesaian kewangan asas seperti akaun, gaji dan sistem POS.
Sejak penubuhannya, AutoCount telah menjual kira-kira 70,000 lesen perisian untuk kegunaan lebih 240,000 perniagaan di Malaysia dan Singapura. - DagangNews.com








