Russian Knights kembali beraksi pamer kehebatan pada LIMA 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Russian Knights kembali beraksi pamer kehebatan pada LIMA 2025

Pasukan aerobatik Russian Knights sentiasa mempamerkan aksi berani.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 14 Mac - Pasukan aerobatik paling dikagumi di dunia, Russian Knights akan hadir pada Pameran Aeorangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA '25) Mei nanti.

 

Ini merupakan kemunculan kali kedua berturut-turut selepas LIMA 2023 lalu.

 

Semasa kali terakhir membuat persembahan di Langkawi pada LIMA edisi lepas, aksi-aksi mendebarkan juruterbang ini membuatkan penonton kagum dan terpesona.

 

Sebagai pameran udara berprestij di Asia Pasifik, penyertaan Russia Knights pada LIMA ‘25 bakal meletakkan merit tersendiri kepada Malaysia.

 

Pesawat
Pasukan aerobatik Russian Knights sebaik tiba di Langkawi pada LIMA 2023 lalu.

 

Pesawat

 

Russian Knights merupakan satu-satunya pasukan aerobatik di dunia yang menerbangkan pesawat tempur bersaiz penuh.

 

Ini kerana tidak seperti tim aerobatik lain, kebanyakan mengendalikan pesawat bersaiz lebih kecil dengan keupayaan yang telah diubah suai untuk pertunjukan udara.

 

Justeru, setiap penerbangan pertunjukan yang dilakukan Russia Knights memerlukan kemahiran dan penyelarasan teratur.

 

Ditubuhkan pada tahun 1991 di Pangkalan Udara Kubinka, Russian Knights pantas menjadi pasukan aerobatik paling elit di dunia dengan penyertaan di luar negara.

 

Ketika itu Russian Knights menggunakan pesawat pejuang Sukhoi SU-27 Flanker iaitu pesawat tempur utama tentera udara Rusia sebelum beralih pada pesawat Sukhoi SU-30.

 

Pesawat

 

Pesawat

 

Pertama kali hadir ke LIMA pada 1991, Langkawi kemudian menjadi destinasi wajib dikunjungi tim aerobatik ini apabila beraksi lagi pada LIMA 1993, LIMA 1995 dan LIMA 2013.

 

Penyertaan Russia Knights semasa LIMA secara tidak langsung bertujuan mempamerkan kehebatan teknologi pesawat udara buatan negara tersebut.

 

Ini kerana pasukan ini turut bertindak sebagai duta kecil dalam industri pertahanan udara Rusia yang merupakan pesaing negara-negara barat lain.

 

Pada LIMA 2017, Russian Knights tampil buat pertama kali bersama pesawat pejuang termoden negara itu, Sukhoi SU-30SM (Super Maneuver) atau juga dikenali sebagai Flanker C bagi panggilan NATO. 

 

Ini telah menjadikan Langkawi sebagai pentas global pertama Russian Knights untuk mempertontonkan kehebatan teknologi industri aeroangkasa Rusia pada masyarakat dunia. 

 

Pesawat
Pasukan Russian Knights semasa menerbangkan Sukhoi SU-27.

 

Ketika ini Russian Knights menerbangkan pesawat pejuang antara paling canggih di dunia iaitu Sukhoi SU-30SM dan Sukhoi SU-35S.

 

Sukhoi SU-35S merupakan pesawat pejuang generasi 4.5 yang dimajukan daripada varian SU-27 Flanker dengan ciri-ciri superioriti yang lebih baik.

 

Sementara itu, bakal menyertai Russia Knights beraksi pada LIMA nanti ialah pasukan aerobatik Suryakiran daripada Tentera Udara India.

 

Pasukan ini pernah hadir di Langkawi kira-kira 18 tahun lalu iaitu pada edisi LIMA 2007.

 

Pesawat

 

Pesawat

 

Pesawat
Pasukan aerobatik Suryakiran.

 

Pada masa itu pasukan aerobatik ini menerbangkan pesawat HAL HJT-16 Kiran buatan India sebelum digantikan dengan pesawat BAE Hawk 100 pada 2015.

 

Sejak ditubuhkan pada tahun 1996, Suryakiran telah mengadakan lebih 600 pertunjukan udara di seluruh dunia.

 

Antara pertunjukan udara utama disertai termasuk Pertunjukan Udara Dubai, Aero India, Pertunjukan Udara Singapura dan Pertunjukan Udara Zhuhai di China. 

 

Penyertaan pasukan aerobatik ini di Langkawi juga secara tidak langsung menjadi simbol hubungan baik antara Malaysia-India. - DagangNews.com