KUALA LUMPUR 29 Ogos – TT Vision Holdings Berhad mencatatkan kerugian bersih RM1.8 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), berbanding keuntungan bersih pada tempoh yang sama tahun lalu.
Phillip Capital berkata, keadaan tersebut berikutan faktor kemerosotan ketara dalam tempahan serta campuran produk margin rendah yang jelas tidak menguntungkan kepada kumpulan teknologi berkenaan.
Firma penyelidikan itu dalam laporannya menyifatkan prestasi suku kedua syarikat itu adalah di bawah jangkaan, apabila pendapatannya susut 34% tahun ke tahun (YoY) kepada sebanyak RM14 juta.
"Prestasi lemah ini disumbangkan oleh kejatuhan dalam segmen utama seperti sel solar dan 'sorting' (-83%), 'discrete' dan litar bersepadu (-56%), serta lain-lain (-65%)," kata firma berkenaan lagi.
Bagaimanapun tambah Phillip Capital, segmen optoelektronik mencatatkan pertumbuhan kukuh kepada RM8.6 juta berbanding hanya RM0.4 juta dalam 2Q24, mewakili 63% daripada jumlah hasil suku itu.
Kebanyakannya disokong oleh para pelanggan TT Vision dari Vietnam, manakala pesanan dari China pula merosot 71% YoY kepada RM1.6 juta, tetapi pasaran Malaysia ada peningkatan besar kepada RM3.3 juta.
Ia katanya, melonjak berbanding hanya RM0.8 juta pada 2QFY24, sementara kenaikan kos pentadbiran serta campuran produk yang tidak memihak telah menyebabkan syarikat merekodkan kerugian kasar.
"Kami difahamkan ia RM1.5 juta tetapi selepas tolak kerugian tukaran asing tidak direalisasi dan pelupusan inventori iaitu RM0.1 juta, kerugian bersih mencecah RM1.8 juta," kata Phillip Capital.
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2025 (6M25), pendapatan TT Vision berkurang kira-kira 9% YoY kepada RM29 juta, dengan keuntungan bersih teras susut sebanyak 34% YoY kepada RM3.7 juta.
Keadaan ini tambahnya, akibat pendapatan lebih lembap, campuran produk margin rendah dan leveraj operasi yang lemah, namun segmen sel solar dan 'sorting' kekal sebagai penyumbang utama syarikat.
Phillip Capital berkata, ia menjana 52% daripada pendapatan 6M25, walaupun susut 30% YoY, namun segmen optoelektronik melonjak 136% YoY kepada RM9.5 juta, menyumbang 33% kepada keseluruhan hasil.
"Susulan prestasi lemah, kami menyemak unjuran keuntungan TT Vision bagi 2025 hingga 2027, dengan pemotongan antara 31% hingga 54%, dengan andaian margin rendah dan kos operasi tinggi," katanya.
Justeru kata firma tersebut, penarafan ke atas sahamnya diturunkan kepada 'pegang' daripada ‘beli’, manakala harga sasaran 12 bulan dikurangkan kepada 50 sen berbanding 78 sen sebelum ini.
Sebaliknya kata Phillip Capital, pemulihan tempahan yang kukuh daripada jangkaan dan margin lebih baik berpotensi menjadi pemangkin kepada penilaian semula secara positif ke atas prospek kumpulan.
Namun tambahnya, risiko penurunan saham TT Vision termasuklah kelewatan pemulihan sektor, kelemahan dalam pengisian semula tempahan baharu, serta tekanan margin yang berpanjangan. - DagangNews.com








