KUALA LUMPUR 6 Mei – RT Pastry Holdings Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan KAF Investment Bank Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
RT Pastry adalah syarikat yang terlibat dalam pembuatan serta peruncitan produk pastri dan bakeri premium dengan operasi lebih 17 cawangan di sekitar Lembah Klang.
IPO tersebut melibatkan terbitan awam sebanyak 91.5 juta saham baharu, yang mewakili kira-kira 27 peratus daripada jumlah modal saham terbitan yang diperbesarkan selepas penyenaraian.
Daripada jumlah itu, 16.9 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, manakala 6.7 juta saham disediakan kepada individu yang layak dalam syarikat.
Sebanyak 42.3 juta saham pula akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Baki 25.4 juta saham akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi serta pelabur terpilih.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RT Pastry, Lu Chun Neng berkata IPO tersebut akan menyediakan platform strategik bagi syarikat memperluas rangkaian peruncitan serta memperkukuh keupayaan pengeluaran.
“Langkah penyenaraian ini juga akan membantu RT Pastry mempercepatkan rancangan membesarkan perniagaan di samping meningkatkan kecekapan operasi.
“Sebahagian hasil daripada IPO akan digunakan bagi pembukaan outlet baharu, pembelian mesin dan peralatan baharu, serta pembayaran balik pinjaman bank sedia ada,” katanya.
KAF Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penaja jamin serta ejen penempatan bagi keseluruhan pelaksanaan IPO tersebut.
Dalam kapasiti itu, KAF Investment Bank bertanggungjawab menyelaras struktur penawaran, pelaksanaan penyenaraian, serta memastikan proses pengagihan saham dilaksanakan mengikut keperluan peraturan pasaran modal. - DagangNews.com








