RT Pastry berhasrat tambah cawangan selepas penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RT Pastry berhasrat tambah cawangan selepas penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Okt – Pengeluar bakeri tempatan, RT Pastry Holdings Berhad menawarkan 91.54 juta saham baharu menerusi terbitan awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE.


Menurut prospektus syarikat tersebut yang juga pengedar produk roti, kek dan pastri, penyenaraian di Bursa Malaysia itu akan memperkukuhkan lagi kedudukan kewangannya dalam jangka masa panjang.


Kumpulan berkenaan yang ditubuhkan pada 2003 oleh pakar pastri Taiwan, Lu Chun Neng dan berpusat di Seri Kembangan, Selangor itu berhasrat memacu strategi pengembangan runcit di seluruh negara. 


“Dana daripada IPO ini akan digunakan untuk langkah pembukaan cawangan baharu, pembelian mesin dan peralatan, pembayaran balik pinjaman bank serta menampung kos penyenaraian,” jelas RT Pastry.


Syarikat itu terlibat secara menyeluruh dalam rantaian nilai bakeri meliputi pembuatan, pengedaran dan penjualan pelbagai produk, termasuk jenama syarikat tertentu serta barang dagangan lain.


Usaha penyenaraian ini dijangka memberi akses modal baharu bagi mempertingkat kapasiti operasi dan keupayaan pengeluaran, sejajar peningkatan permintaan pengguna terhadap produk segar dan bermutu.


"KAF Investment Bank Berhad bertindak sebagai penaja penyenaraian RT Pastry, dan dipilih kerana mampu mengukuhkan lagi keyakinan terhadap prospek pertumbuhan syarikat di pasaran modal," katanya.


Bagaimanapun, kumpulan itu belum lagi mengumumkan sebarang tarikh penyenaraian rasmi, namun pengumuman lanjut dijangka selepas fasa penerbitan prospektus IPO selesai. - DagangNews.com