RON95 mungkin kembali RM2.05 seliter disebabkan konflik Timur Tengah jejaskan stok minyak — HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RON95 mungkin kembali RM2.05 seliter disebabkan konflik Timur Tengah jejaskan stok minyak — HLIB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 Mac – Lonjakan harga minyak global susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah berpotensi memberi tekanan kepada kedudukan fiskal Malaysia, termasuk subsidi harga petrol RON95.


Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), harga minyak berkenaan dikhuatiri kembali kepada paras RM2.05 seliter sekiranya kos subsidi terus meningkat dan tidak lagi dapat diserapkan kerajaan.


Firma penyelidikan berkata, kerajaan mungkin terpaksa menamatkan harga subsidi semasa RM1.99 seliter di bawah skim Budi Madani RON95 (BUDI95) jika harga minyak mentah global semakin tinggi.

 

 

 

 

 


"Setiap kenaikan AS$10 (RM39.33) setong harga minyak akan meningkatkan perbelanjaan subsidi kerajaan kira-kira RM3.4 bilion bagi RON95 dan RM800 juta bagi diesel," jelasnya dalam analisis.


Walaupun kerajaan turut memperoleh hasil tambahan daripada harga minyak yang lebih tinggi, kesan fiskal keseluruhan pula tambah HLIB, masih adalah negatif kerana kesan peningkatan kos subsidi.


Ia turut merujuk kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan kerajaan mungkin sukar mengekalkan harga RON95 lebih daripada dua bulan dalam keadaan harga minyak semasa.


Justeru jelas firma penyelidikan tersebut, berdasarkan data pasaran ketika ini, harga minyak mentah penanda aras global Brent didagangkan tinggi dengan melebihi AS$100 (RM393.35) setong.

 

Artikel berkaitan: RON95 kekal RM1.99 seliter walaupun harga minyak global meningkat - PM Anwar
 

RON95


"Jika harga RON95 diselaras kembali kepada RM2.05 seliter, kami menganggarkan langkah ini boleh menaikkan langsung Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia sekitar 0.1 mata peratusan," kata HLIB.


Dalam persekitaran tersebut, firma berkenaan menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75% buat masa ini bagi mengawal situasi.


Ia turut merujuk usaha Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) melepaskan 400 juta tong minyak daripada rizab kecemasan global bagi meredakan tekanan bekalan jangka pendek susulan konflik Timur Tengah.


Bagaimanapun kata HLIB, langkah itu hanya bersifat sementara kerana risiko gangguan bekalan minyak global masih wujud selagi laluan strategik di Selat Hormuz tidak kembali beroperasi sepenuhnya.


"Bagi Malaysia pula, kesan kenaikan harga minyak di pasaran tempatan adalah bercampur-campur kerana negara ini masih mencatat lebihan perdagangan minyak dan gas (O&G)," tambah firma tersebut.


Jelasnya lagi, sebahagian besar masih disokong oleh eksport gas asli cecair (LNG) yang dikenal pasti terus mendapat manfaat amat besar daripada harga tenaga yang lebih tinggi di pasaran dunia.

 

 

 

 

 


Kedudukan perdagangan minyak mentah Malaysia namun kata HLIB, semakin lemah sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan penurunan pengeluaran domestik dan peningkatan import minyak mentah.


Kebanyakan datang dari Timur Tengah, khususnya Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekali gus lebih terdedah kepada peningkatan kos import apabila harga minyak global melonjak. - DagangNews.com