Robert Kuok kekal individu terkaya Malaysia, diikuti pengasas Press Metal dan IOI Group – Forbes Asia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Robert Kuok kekal individu terkaya Malaysia, diikuti pengasas Press Metal dan IOI Group – Forbes Asia

Tan Sri Robert Kuok
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 April Tan Sri Robert Kuok terus mengekalkan kedudukannya sebagai individu terkaya di Malaysia dengan kekayaan bersihnya meningkat 19% pada 2025 kepada AS$13.6 bilion, mengungguli carta teratas senarai 50 Orang Terkaya Malaysia 2026, menurut Forbes Asia.

 

Di tempat kedua, Tan Sri Koon Poh Keong dan adik-beradiknya daripada Press Metal Aluminium Holdings Bhd melonjak dalam kedudukan apabila kekayaan mereka meningkat 80% kepada AS$9.7 bilion, disokong kenaikan harga aluminium serta lonjakan 73% harga saham syarikat.

 

t

 

Sementara itu, pasangan adik-beradik Datuk Lee Yeow Chor dan Datuk Lee Yeow Seng daripada IOI Group menduduki tempat ketiga dengan jumlah kekayaan bersih sebanyak AS$8.5 bilion.

 

t
Datuk Lee Yeow Chor (kiri) dan Datuk Lee Yeow Seng (kanan) daripada IOI Group

 

Berdasarkan laporan itu, jumlah keseluruhan kekayaan 50 taikun Malaysia dianggarkan meningkat hampir 30% kepada sekitar AS$116 bilion (kira-kira RM458.55 bilion), berbanding AS$90 bilion pada tahun sebelumnya.

 

 

 

 

 

 

Ia menunjukkan majoriti daripada mereka turut mencatatkan peningkatan kekayaan disokong oleh pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.2%, pengukuhan ringgit serta pasaran tawaran awam permulaan (IPO) yang rancak dengan 60 penyenaraian baharu.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd, Lee Thiam Wah antara yang mencatat lonjakan ketara apabila kekayaan bersihnya hampir berganda kepada AS$6.7 bilion pada 2025 susulan pengembangan rangkaian kedai runcit itu kepada lebih 3,000 cawangan di seluruh negara.

 

t
Lee Thiam Wah

 

Forbes turut memaklumkan bahawa seramai 41 daripada 50 individu dalam senarai tersebut merekodkan peningkatan nilai bersih masing-masing pada 2025, mencerminkan prestasi perniagaan yang lebih kukuh dalam kalangan taikun Malaysia.

 

Turut mencatat pertumbuhan memberangsangkan ialah Tan Sri Jeffrey Cheah yang menyaksikan kekayaannya meningkat 76% kepada AS$5.3 bilion, selepas penyenaraian Sunway Healthcare Bhd melalui tawaran awam permulaan (IPO) bernilai AS$732 juta, antara yang terbesar dalam tempoh hampir sedekad.

 

t
Tan Sri Jeffrey Cheah

 

Dalam perkembangan lain, pengasas bersama Eco-Shop Marketing Bhd, Datuk Seri Lee Kar Whatt muncul sebagai pendatang baharu dalam senarai selepas penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia pada Mei 2025 melalui pengumpulan dana sebanyak RM419.9 juta menerusi IPO, sekali gus menandakan kemasukan rasminya ke pasaran awam, dengan kekayaan dianggarkan AS$1.5 bilion.

 

t
Datuk Seri Lee Kar Whatt

 

Keluarga Tiong pula membuat kemunculan di tempat ke-42 dengan kekayaan AS$655 juta, selepas mewarisi legasi perniagaan Rimbunan Hijau Group berikutan pemergian pengasasnya, Tan Sri Tiong Hiew King pada November 2025, yang sekali gus menjadi faktor utama kemasukan mereka ke dalam senarai tersebut.

 

Sementara itu, pengasas bersama ViTrox Bhd, Chun Jenn Wang kembali tersenarai di tempat ke-47 apabila saham syarikat semikonduktor itu melonjak 84% pada 2025, didorong peningkatan permintaan terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI).

 

Secara keseluruhannya, peningkatan kekayaan para taikun ini turut didorong oleh persekitaran ekonomi yang lebih kukuh, pengukuhan ringgit serta aktiviti pasaran modal yang rancak, khususnya melalui penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia dan pelaksanaan IPO berskala besar.

 

Selain itu, sektor seperti peruncitan, aluminium, perladangan, kesihatan dan semikonduktor dilihat menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan kekayaan individu berprofil tinggi di Malaysia sepanjang 2025, selari dengan prestasi kukuh pasaran global dan domestik.

 

Kebangkitan nilai pasaran saham serta prestasi korporat yang memberangsangkan turut menyaksikan peningkatan ketara dalam kekayaan bersih beberapa keluarga perniagaan utama di negara ini, khususnya mereka yang mempunyai pegangan besar dalam syarikat tersenarai awam.

 

 

 

 

 

 

Peningkatan ini sekali gus mencerminkan bagaimana sentimen pasaran, harga komoditi dan gelombang IPO memberi kesan langsung terhadap kedudukan kekayaan individu, khususnya dalam kalangan taikun yang aktif dalam pasaran modal.

 

Secara keseluruhan, senarai Forbes 50 Orang Terkaya Malaysia 2026 menunjukkan landskap kekayaan negara terus berkembang kukuh dengan majoriti taikun merekodkan pertumbuhan nilai bersih yang ketara sepanjang tahun 2025. - DagangNews.com