RM200 juta tambahan kos OPV tapi negara tanggung kerugian lebih besar sepanjang kapal lewat disiapkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RM200 juta tambahan kos OPV tapi negara tanggung kerugian lebih besar sepanjang kapal lewat disiapkan

KM Tun Fatimah satu-satunya kapal OPV APMM daripada 3 buah yang berjaya disiapkan setakat ini.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Keputusan kerajaan meluluskan tambahan RM200 juta bagi menyiapkan dua kapal rondaan luar pesisir (OPV) milik Maritim Malaysia (APMM) menoktahkan penantian projek yang tertangguh.

 

Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata peruntukan tambahan itu telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi.

 

Beliau berkata, sebanyak RM120 juta masih berbaki daripada peruntukan asal yang diluluskan pada tahun 2017 dengan kos RM740 juta bagi pembinaan 3 kapal kesemuanya.

 

 

 

 

 

 

Dengan tambahan RM200 juta itu, jumlah keseluruhan kos pembinaan 3 kapal berkenaan kini meningkat kepada RM940 juta.

 

Kapal

 

Sebenarnya, isu yang lebih besar dan wajar diberi perhatian oleh semua pihak adalah harga sebenar sebuah kelewatan iaitu kerugian yang telah berlanjutan hampir lima tahun.

 

Kontrak 3 buah kapal OPV pada asalnya telah dianugerahkan kepada THHE Destini Sdn. Bhd. pada 2017 dengan tempoh penyerahan pada Ogos 2020.

 

Sepanjang kemelut itu pelbagai isu kewangan dan pengurusan timbul sehingga kerajaan terpaksa mengambil alih projek pada 2023 sebelum kontrak ditamatkan sepenuhnya pada penghujung 2024. 

 

Hanya kapal pertama, KM Tun Fatimah, berjaya diserahkan kepada APMM tahun lalu.

 

Kini, baki dua OPV akan disiapkan oleh Shin Yang Shipyard iaitu anak syarikat kepada Shin Yang Group Bhd sepertimana diumumkan kerajaan pada Mei tahun lalu.

 

Kapal
Limbungan kapal Shin Yang di Sarawak diberi kontrak bagi menyiapkan pembinaan baki 2 kapal OPV APMM.

 

Namun, persoalannya bukan lagi siapa membina kapal atau berapa kos tambahannya tetapi kerugian besar dalam nilai pendapatan negara yang boleh diselamatkan jika kapal peronda ini siap lebih awal.

 

Kerugian tersebut adalah pada nilai hasil maritim yang dijarah kapal nelayan asing, kegiatan jenayah maritim rentas sempadan dan penceroboh kapal-kapal asing.

 

Malaysia memiliki kawasan maritim yang luas dan strategik, merangkumi Selat Melaka serta Laut China Selatan. 

 

Tanpa aset rondaan yang mencukupi, penguatkuasaan menjadi tidak optimum.

 

Kelewatan menyiapkan dua OPV ini memberi ruang kepada pencerobohan nelayan asing dan jenayah dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

 

Kapal

 

Kapal
Sebahagian daripada kru kapal OPV KM Tun Fatimah.

 

Setiap pencerobohan bukan sekadar pelanggaran undang-undang, tetapi kehilangan hasil negara.

 

Industri perikanan negara bernilai lebih RM16 bilion setahun, malangnya sumber perikanan bernilai jutaan ringgit setahun dieksploitasi tanpa cukai atau lesen. 

 

Sekiranya dua OPV ini telah beroperasi sejak 2020, keupayaan rondaan laut dalam dan kehadiran berterusan pasti dapat dipertingkatkan. 

 

Kesan pencegahan kapal-kapal asing terutama di Laut China Selatan di mana tiga OPV ini sepatutnya ditempatkan dapat ditangani.

 

Ini kerana kerajaan memutuskan APMM perlu dilengkapi dengan 3 buah OPV moden bersaiz seperti kapal frigat ini supaya boleh menjadi pengawal di laut.

 

Justeru, tambahan RM200 juta mungkin dilihat besar dari sudut fiskal namun, kos peluang yang terlepas berpotensi jauh lebih besar.

 

Kapal
Pencerobohan kapal asing menghampiri perairan negara antara ancaman yang dihadapi APMM sebagai agensi penguatkuasaan maritim - gambar hiasan.

 

 

Dalam tempoh lima tahun kelewatan, negara berkemungkinan kehilangan hasil sumber marin yang tidak dapat diselamatkan.

 

Kelewatan ini juga membawa implikasi strategik. Dalam konteks geopolitik serantau, kehadiran aset penguatkuasaan di laut bukan sekadar operasi keselamatan, tetapi simbol kedaulatan negara. 

 

Kekurangan aset bermakna kehadiran tidak konsisten di kawasan panas, sekali gus melemahkan posisi pencegahan Malaysia.

 

 

 

 

 

 

Apa yang berlaku turut menimbulkan persoalan mengenai tadbir urus projek keselamatan strategik. 

 

Dalam projek pertahanan dan keselamatan, masa bukan sekadar jadual kontrak, tetapi ia adalah elemen strategik. 

 

 

Kapal
KM Tun Fatimah mengambil masa lama untuk disiapkan.

 

Kapal

Setiap tahun kelewatan membawa implikasi keselamatan dan ekonomi yang sukar diukur secara tepat tetapi nyata dirasai.

 

Kerajaan mesti belajar daripada kegagalan projek OPV agar kelewatan sebegini tidak berulang dalam projek pertahanan dan keselamatan pada masa hadapan. - DagangNews.com