KUALA LUMPUR 22 Sept – Wabak penyakit ternakan dan potensi sekatan eksport dikenal pasti sebagai dua risiko utama yang boleh menjejaskan teruk pertumbuhan masa depan MAG Holdings Berhad.
Menurut TA Securities, walaupun berhadapan dengan risiko negatif berkenaan, ia kekal optimis terhadap asas kukuh dan model perniagaan menyeluruh ke atas syarikat akuakultur tempatan itu.
Justeru firma penyelidikan berkenaan memberikan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran 19 sen sesaham, disokong oleh pertumbuhan keuntungan syarikat yang stabil serta pengurusan operasi cekap.
“Penyebaran penyakit dalam ternakan udang namun boleh menjejaskan kadar kelangsungan dan hasil tuaian tahunan, selain halangan eksport yang akan memberi impak negatif,” jelas firma itu dalam notanya.
Sekatan berkenaan tambah TA Securities, termasuk langkah pengenaan tarif perdagangan oleh negara yang mengimport dan dilaksanakan sebagai cara melindungi syarikat ternakan negara berkenaan.
MAG merupakan pemain besar industri ternakan udang putih di Malaysia, dengan kapasiti pembiakan tahunan mencecah 7,000 metrik tan (mt) melalui empat ladang di Tawau, Sabah mengandungi 384 kolam.
Firma itu menjangkakan jumlah tuaian kekal stabil antara 5,550 hingga 5,784 mt setahun bagi tempoh FY25 hingga FY27, disokong oleh kadar kelangsungan ternakan yang tinggi sebanyak 80 hingga 83%.
"Kami mengunjurkan keuntungan teras MAG meningkat sebanyak 8.0%, 3.9% dan 4.6% masing-masing bagi FY25, FY26 dan FY27, berdasarkan beberapa faktor utama yang dikenal pasti," kata TA Securities.
Antaranya pembelian pihak ketiga sehingga 1,500 mt setahun bagi menampung permintaan pemprosesan; serta harga jualan purata (ASP) RM53 setiap kilogram (kg) untuk eksport) dan RM47/kg domestik.
Selain itu tambah firma berkenaan, keupayaan loji yang mampu memproses hingga 12,000 mt udang setahun, termasuk hasil tuaian dalaman dan luaran dijangka menjana perolehan kumpulan tersebut.
Di samping itu kata TA Securities, MAG memiliki dua loji pemprosesan yang menghasilkan produk sedia dimasak (RTC) dan sedia dimakan (RTE), dengan kapasiti penyimpanan sejuk mencecah 200 mt.
"Tahap keupayaan fasiliti ini yang berskala besar, memang membolehkan syarikat berkenaan untuk mengukuhkan lagi kedudukan dalam pasaran tempatan dan eksport produk jangka panjang," tambahnya.
Pada masa sama, firma berkenaan turut mengiktiraf peranan MAG sebagai ejen keselamatan makanan negara, sejajar dengan dasar kerajaan memperkasakan pengeluaran makanan berasaskan akuakultur.
Dengan pendekatan berteraskan tadbir urus korporat yang telus, pelaburan dalam infrastruktur dan peningkatan kecekapan operasi, MAG dijangka terus mengekalkan daya saing jangka panjang.
TA Securities berpendapat, walaupun ada risiko berkaitan kesihatan ternakan dan dasar perdagangan global, asas strategi MAG menunjukkan potensi pertumbuhan mampan. - DagangNews.com








