Risiko tarif sektor jejas prestasi eksport Malaysia pada 2H25, kata CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Risiko tarif sektor jejas prestasi eksport Malaysia pada 2H25, kata CGS International

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Walaupun eksport Malaysia meningkat 6.8% tahun ke tahun (YoY) pada Julai 2025, yang melebihi jangkaan pasaran, kebimbangan terhadap risiko tarif sektor tertentu masih ada lagi.


CGS International (CGSI) berkata, risiko tersebut khususnya dalam segmen semikonduktor, yang dijangka menjadi halangan utama kepada prestasi eksport negara dalam tempoh separuh kedua pada tahun ini.


Menurut firma itu, kenyataan terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang merancang mengenakan tarif 100% ke atas cip semikonduktor, berpotensi memberi impak besar kepada Malaysia.


"Produk elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang 43.5% setakat ini dengan 60% eksport Malaysia ke AS, terdiri barangan ini, dan 68% daripadanya pula ialah semikonduktor," katanya dalam satu nota kajian.


Tambahnya, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, 65% daripada eksport semikonduktor Malaysia ke AS berasal daripada syarikat AS sendiri yang beroperasi di Malaysia.


Situasi kali ini kata CGSI, menjadikan langkah tarif AS sebagai risiko serius kepada eksport negara namun Malaysia masih lagi merekodkan peningkatan eksport, dipacu penghantaran tinggi barangan E&E.


Secara bulanan (MoM) katanya, eksport meningkat 15.5% manakala import naik 10.9%. Eksport barangan pembuatan melonjak 9.0% YoY pada Julai 2025, selepas mencatat penurunan 3.3% pada Jun 2025.


"Sebaliknya, eksport barangan pertanian merosot 8.6% YoY, mengakhiri tempoh 15 bulan pertumbuhan yang positif, berikutan penurunan penghantaran minyak sawit dan produk berasaskan sawit," katanya lagi.


Firma penyelidikan itu menambah, import Malaysia hanya meningkat 0.6% YoY, disokong oleh pengimportan barangan modal (+20.6% YoY), terutamanya bagi barangan yang bukan berkaitan sektor pengangkutan.


Bagaimanapun kata CGSI, barangan perantaraan, iaitu penunjuk awal kepada eksport masa hadapan, terus merosot sebanyak 17.8% YoY, dengan mencatatkan selama lima bulan berturut-turut penyusutan.


Import barangan penggunaan turut menyusut 5% YoY, didorong penurunan import makanan dan minuman terproses untuk kegunaan isi rumah, memberi isyarat perbelanjaan berhati-hati pada suku ketiga 2025.


"Eksport ke AS meningkat 3.8% YoY, manakala penghantaran ke China melonjak 6.8% YoY, tertinggi setakat ini bagi 2025, didorong permintaan lebih tinggi untuk produk petroleum dan E&E," katanya.


Sementara itu tambah firma berkenaan, eksport ke Mexico didapati terus berkembang pesat dengan lonjakan 48.6% YoY, mewakili 2.2% daripada jumlah eksport Malaysia sepanjang bulan tersebut.


Namun begitu kata CGSI, persaingan sengit dari Indonesia terutama dalam pasaran minyak sawit India dilihat sebagai berisiko bagi mengekang pertumbuhan eksport Malaysia dalam sektor agrikomoditi.


Tambahnya, walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) kekal tinggi, volum eksport dijangka mendatar, selain Malaysia berdepan risiko luaran seperti tarif semikonduktor sekiranya dilaksanakan AS.


"Malaysia dijangka terus meraih sokongan jangka pendek daripada usaha kepelbagaian pasaran eksport dan permintaan kukuh sektor E&E, sekurang-kurangnya sehingga tarif rasmi diumumkan," katanya. - DagangNews.com