Risiko perang berpanjangan ancam kos bahan mentah sektor sarung tangan - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Risiko perang berpanjangan ancam kos bahan mentah sektor sarung tangan - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Mac — Isu geopolitik di Timur Tengah yang meningkatkan harga minyak mentah global berpotensi menaikkan kos bahan mentah dan menjejaskan rantaian stok sektor sarung tangan Malaysia.


Menurut Maybank Investment Bank, situasi tersebut boleh memberi tekanan kepada pengeluar khususnya melalui kenaikan kos produk jenis nitril lateks yang berkait rapat dengan harga minyak mentah.


Kata firma penyelidikan itu, harga getah asli juga berpotensi meningkat susulan ketidaktentuan komoditi antarabangsa serta faktor musim, sekali gus menambahkan lagi tekanan kos kepada pengeluar.


“Selain itu, harga gas mungkin naik ekoran kejatuhan pasaran tenaga, namun impaknya terhadap kos pengeluaran mengambil masa lapan bulan sebelum dirasai,” katanya dalam nota sektor tersebut.


Gas jelas Maybank IB, merupakan sumber tenaga utama dalam proses pengeluaran sarung tangan di Malaysia, dan kenaikan harga bahan api itu boleh menjejaskan daya saing pengeluar tempatan.
 

sarung tangan


Situasi berbeza dengan pengeluar sarung tangan di China yang menggunakan arang batu, namun konflik di Timur Tengah turut berpotensi mengganggu laluan utama perkapalan global, khususnya ke Eropah.


Keadaan itu boleh menyebabkan pembeli menangguhkan penghantaran susulan peningkatan kos logistik, sekali gus melambatkan pengiktirafan hasil jualan, termasuk bagi suku kewangan bermula Mac 2026.


"Bagaimanapun, kami berpandangan kesan tersebut lebih bersifat sementara kerana penghantaran dan jualan produk dijangka pulih semula apabila keadaan logistik kembali stabil," tambah Maybank IB.


Justeru firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'neutral' bagi sektor sarung tangan setelah mengambil kira kebimbangan berkaitan kos bahan mentah dan gangguan penghantaran akibat berlaku konflik.


Dari segi saham pilihan, ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas Hartalega Holdings Berhad, manakala 'pegang' diberikan kepada Kossan Rubber Industries Bhd dan Top Glove Corporation Bhd. - DagangNews.com