KUALA LUMPUR 3 Nov - MBSB Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor minyak dan gas (O&G), dengan amaran mengenai risiko penurunan harga minyak mentah yang dijangka kekal pada 2026.
Firma penyelidikan itu menambah, situasi tersebut berikutan lebihan penawaran bekalan global yang semakin ketara, dengan ia menjangkakan pengeluaran minyak dunia meningkat sepanjang tahun depan.
Menurutnya, sebanyak 2.4 juta tong sehari (mb/d) dijangka dikeluarkan yang dibahagikan sama rata antara 13 anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) serta bukan OPEC.
"OPEC+ bersetuju menambah pengeluaran sebanyak 137,000 tong sehari pada Disember 2025, selaras dengan peningkatan dilaksanakan pada Oktober dan November," kata MBSB Research dalam notanya.
Bagaimanapun jelas firma berkenan, kumpulan antarabangsa itu turut memutuskan untuk menangguhkan sebarang kenaikan tambahan pada tempoh suku pertama 2026 yang melegakan pemain sektor O&G.
Langkah tersebut katanya, dilihat sebagai tindakan proaktif untuk mengawal pasaran dan mengekang tekanan harga menjelang musim permintaan rendah yang kelaziman berlaku setiap kali awal tahun.
Secara keseluruhan ujar MBSB Research, sejak April 2025, OPEC+ bertindak menambah pengeluaran sebanyak 2.9 mb/d, yang namun mewakili hanya sekitar 2.7% daripada jumlah bekalan minyak global.
"Peningkatan ini dilaksanakan bagi mengukuhkan semula pegangan pasaran yang sebelum itu terhakis akibat pemotongan pengeluaran secara sukarela pada tahun-tahun terdahulu," jelas firma tersebut.
Ia turut menegaskan yang permintaan minyak dunia dijangka cuma meningkat sebanyak 0.7 mb/d pada 2026, jauh lebih perlahan berbanding kadar sebenar pertumbuhan bekalan di pasaran antarabangsa.
Kelembapan ini kata MBSB Research, berpunca akibat pertumbuhan sederhana di negara pengguna utama seperti China dan India, yang unjuran ekonomi masing-masing jatuh kepada 4.2% dan 6.2% pada 2026.
Selain itu jelas firma tersebut, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut meramalkan pertumbuhan ekonomi global hanya sebanyak 3.1% pada 2026, turun satu mata peratusan daripada unjuran 2025.
"Walaupun imbangan pasaran cenderung kepada lebihan bekalan, beberapa faktor dijangka menyokong harga minyak dunia agar masih kekal melebihi paras AS$60 (kira-kira RM252) setong," tambahnya.
MBSB Research berkata, ini meliputi penyimpanan stok minyak mentah oleh China, sekatan baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap petroleum Rusia dan penutupan kapasiti beberapa kilang penapisan.
Berdasarkan faktor asas penawaran dan permintaan semasa, firma penyelidikan itu menjangkakan harga minyak mentah Brent akan diniagakan dalam julat hingga AS$65 (kira-kira RM273) setong pada 2026.
Prospek pertumbuhan permintaan namun kekal sederhana, dengan kawalan pengeluaran oleh OPEC+ dijangka menstabilkan pasaran dan mengehadkan tekanan ketara penurunan harga. - DagangNews.com








