KUALA LUMPUR 29 Okt – Kelemahan pasaran eksport dikenal pasti sebagai antara risiko utama boleh menjejaskan prestasi PGF Capital Berhad dalam tempoh terdekat, kata Maybank Investment Bank.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menegaskan, dua pemacu utama pertumbuhan syarikat iaitu kecekapan tenaga dan nilai aset tanah dijangka menyokong momentum jangka sederhana hingga panjang.
Ia memulakan liputan ke atas PGF dengan saranan 'beli' dan harga sasaran RM2.93, berdasarkan potensi pertumbuhan pendapatan kukuh serta kenaikan nilai hartanah yang dimiliki kumpulan itu.
"PGF melaksanakan pengembangan besar-besaran melalui pembinaan kilang baharu di Kulim, yang bakal meningkatkan kapasiti pengeluaran 3.4 kali ganda menjelang FY28," jelas Maybank IB dalam notanya.
Pengembangan ini katanya, memperkukuh kedudukan PGF untuk memanfaatkan permintaan penebat bangunan di Australia, New Zealand, dan Malaysia, selaras dengan peraturan tenaga yang semakin ketat.
Walaupun prospek kekal positif, ia turut memberi amaran mengenai kelemahan pasaran eksport atau ketidaktentuan kadar tukaran asing (forex) boleh memberi kesan terhadap hasil syarikat berkenaan.
Menurut Maybank IB, sebahagian besar jualan disumbang oleh pasaran luar negara dengan analisis sensitiviti menunjukkan perubahan 5% dalam nilai mata wang boleh menjejaskan hasil sekitar 3%.
"PGF turut ada 530 hektar tanah di Tanjong Malim, Perak, dekat Automotive High-Tech Valley (AHTV) iaitu hab tumpuan baharu industri kenderaan elektrik dan automotif berteknologi tinggi," katanya.
Dengan kos perolehan hanya RM3 sekaki persegi, berbanding nilai tanah industri berhampiran kini mencecah RM40 sekaki persegi, firma tersebut melihat potensi kenaikan nilai yang lebih ketara.
Sebanyak 162 hektar tanah tersebut kata Maybank IB, dirancang untuk pembangunan perbandaran bagi tempoh 10 hingga 15 tahun, yang dijangka menyumbang kepada pertumbuhan nilai aset jangka panjang.
Ia menilai PGF menggunakan gabungan penilaian 10 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) untuk segmen pembuatan dan nilai aset bersih diselaraskan (RNAV) RM216 juta untuk segmen hartanah.
"Keadaan tersebut menjurus kepada harga sasaran RM2.93 sesaham, dan pada paras ini, PGF diniagakan dengan PER 17 kali, iaitu di bawah purata tiga tahun sektor perindustrian tempatan," jelasnya.
Secara keseluruhan kata Maybank IB, walaupun berdepan risiko pasaran, PGF berdaya saing dengan dua pemacu utama yang dapat membantu pengukuhan pertumbuhan syarikat. - DagangNews.com








