KUALA LUMPUR 27 April — Kenaikan ketara harga ubat-ubatan dan peralatan perubatan sehingga 40% susulan gangguan rantaian bekalan global kini menjadi ancaman utama kepada sektor insurans.
Menurut MBSB Research, situasi tersebut dikhuatiri mengakibatkan risiko inflasi tuntutan perubatan kembali meningkat secara mendadak pada tahun ini, selain dipengaruhi konflik berpanjangan di Timur Tengah.
Tambah firma penyelidikan itu, ketidaktentuan di rantau tersebut mula memberi kesan kepada kos penjagaan kesihatan, dan menjejaskan prestasi syarikat insurans dalam beberapa suku yang akan datang.
“Walaupun inflasi tuntutan perubatan di paras rendah 5.3% pada 2025, situasi ini akan berubah pada 2026 apabila harga ubat dan peranti meningkat kerana isu gangguan logistik global,” jelasnya.
MBSB Research namun menjangkakan prestasi sektor insurans terus kukuh bagi suku pertama 2026, disokong momentum positif daripada suku sebelumnya, dan kembali pulih dengan tuntutan terkawal.
Bagaimanapun ujarnya, impak sebenar konflik geopolitik dijangka hanya dapat dirasai dalam suku-suku berikutnya, khususnya melalui peningkatan kos tuntutan dan tekanan terhadap margin untung.
Pada masa sama, prospek ekonomi domestik semakin perlahan dijangka menjejaskan lagi pertumbuhan premium, terutama segmen insurans am yang berkait rapat dengan pembelian kenderaan dan hartanah.
“Tekanan kos ke atas pengguna yang berpendapatan sederhana boleh mengurangkan permintaan terhadap produk insurans, khususnya dalam segmen konvensional,” tambah laporan analisis MBSB Research itu.

Walaupun berdepan cabaran, segmen insurans hayat mulai pulih, dipacu produk asas Insurans/Takaful Kesihatan dan Perubatan (MHIT) lebih mampu milik serta peningkatan isu kesedaran perlindungan.
Selain itu jelas firma penyelidikan berkenaan, pembaharuan struktur seperti model pembayaran kumpulan diagnosis berkaitan (DRG) dijangka membantu mengekang inflasi kos dalam jangka panjang.
Bagaimanapun MBSB Research memberi amaran mengenai potensi peningkatan kos tuntutan pada 2026, didorong oleh risiko geopolitik, perubahan cuaca ekstrem serta pelaksanaan cukai perkhidmatan.
"Keadaan ini memberi tekanan tambahan kepada industri, tetapi segmen insurans marin, penerbangan dan transit (MAT) pula tidak terjejas meskipun ada peningkatan risiko di Selat Hormuz," katanya.
Dari sudut penilaian, sektor insurans kekal menarik dengan kadar dividen yang menarik, disokong asas permodalan yang kukuh walaupun terdapat kebimbangan awal berkaitan beberapa isu tertentu.
Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan penarafan 'positif terhadap sektor ini dengan pilihan utama termasuk Allianz Malaysia Berhad dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad.
Secara keseluruhan, prospek sektor insurans dijangka terus stabil dalam jangka pendek, namun berdepan cabaran ketara daripada inflasi perubatan dan kelembapan ekonomi untuk tempoh sederhana.
“Sekiranya tekanan kos kesihatan terus meningkat, tidak mustahil langkah intervensi tambahan oleh pengawal selia diperlukan bagi menstabilkan industri,” katanya. - DagangNews.com








