Ringgit kukuh 7% berbanding dolar Taiwan tekan prestasi Frontken bagi 1QFY26, kata Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ringgit kukuh 7% berbanding dolar Taiwan tekan prestasi Frontken bagi 1QFY26, kata Phillip Capital

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 7 Mei - Pengukuhan ringgit sebanyak 7% berbanding dolar Taiwan, memberi tekanan kuat terhadap prestasi suku pertama Frontken Corporation Berhad, menurut analisis Phillip Capital.


Situasi itu ujarnya, mengakibatkan hasil dan keuntungan operasi syarikat itu di Taiwan terjejas teruk, meskipun permintaan sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) global terus kukuh.


Firma penyelidikan ini berkata, hasil dan keuntungan kasar operasi negara itu masing-masing susut 5% dan 8% suku ke suku (QoQ) dalam 1QFY26, disebabkan kesan pertukaran mata wang asing (forex).


"Bagaimanapun, kami menegaskan permintaan asas terhadap produk Frontken sebenarnya masih stabil dengan jualan sebenar meningkat sekitar 1% hingga 2% dalam dolar Taiwan," kata Phillip Capital.


Jelasnya, walaupun berdepan tekanan forex, momentum pertumbuhan kumpulan berkenaan dilihat terus kukuh disokong oleh permintaan berkaitan AI dan peningkatan kitaran industri semikonduktor global.


Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat tersebut dengan menaikkan harga sasaran (TP) 12 bulan akan datang kepada RM5.32 berbanding RM4.95 sebelum ini.


Menurut Phillip Capital, keuntungan bersih teras Frontken bagi 1QFY26 meningkat 22% tahun ke tahun (YoY) kepada sebanyak RM40 juta, selaras dengan lonjakan hasil kira-kira 43% kepada RM190 juta.

 

Artikel berkaitan: Untung bersih Frontken melonjak 36% kepada RM42 juta pada suku pertama disokong permintaan tinggi industri semikonduktor


"Pertumbuhan positif kumpulan ini berjaya didorong teguh daripada permintaan berdaya tahan di Taiwan selain peningkatan aktiviti berkaitan sektor minyak dan gas (O&G) di Malaysia," tambahnya.


Katanya, perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) operasi di Taiwan meningkat kira-kira 17% YoY, manakala Malaysia melonjak 193%, sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas yang rendah sebelum ini.


Phillip Capital berkata, margin kasar namun merosot kepada 32%, iaitu susut lapan mata peratusan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya akibat impak forex dan perubahan campuran hasil Frontken.


Prestasi suku tersebut dianggap dalam jangkaan kerana tempoh itu kelazimannya menyumbang 20% daripada keuntungan tahunan penuh, dengan prestasi kukuh dijangka pada separuh kedua tahun ini.


"Prospek kumpulan terus positif apabila permintaan berkaitan AI global mendorong syarikat tersebut mempercepatkan pelan pengembangan kilang P2 lebih awal daripada jadual asal pada 2027," katanya.


Ujar Phillip Capital, barisan pembersihan baharu Frontken itu kini sudah siap dan sedang menjalani proses kelayakan, manakala keterlihatan permintaan kekal kukuh disokong oleh aktiviti AI global.


Bagaimanapun firma penyelidikan berkenaan turut menyemak turun unjuran pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 12% susulan pembesaran asas saham selepas pencairan waran. - DagangNews.com