KUALA LUMPUR 15 Okt – Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) menjangka ringgit berpotensi mengukuh ke paras RM3.93 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang pertengahan tahun depan.
Ketua Penganalisis Ekonominya, Dr Ray Choy berkata, perkembangan positif tersebut disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh, pelaksanaan reformasi fiskal serta jangkaan penyusutan dolar AS.
Keyakinan pelabur katanya, meningkat hasil pelaksanaan berterusan pembaharuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan peningkatan daya saing negara di peringkat global kepada tangga ke-23.
“Secara keseluruhan, kami jangka trajektori pertumbuhan ringgit yang sihat dan berlanjutan pada 2026, dengan ramalan MARC ialah RM3.93 menjelang tempoh pertengahan tahun hadapan,” jelas beliau.
Choy dalam pembentangan analisis Belanjawan 2026 semasa forum maya MARC360 Reflections hari ini menambah, prospek ringgit kekal positif walaupun berdepan ketegangan geopolitik sepanjang 2025.
Keadaan itu jelasnya, membuktikan pasaran optimis terhadap kekuatan asas ekonomi Malaysia dan yakin sasaran ringgit berupaya mencecah RM4.00 menjelang hujung tahun ini sebagai tidak mustahil.
Tambahnya, terdapat beberapa faktor luaran dan dalaman yang menyokong jangkaan berkenaan, termasuk jangkaan Rizab Persekutuan AS mungkin menurunkan kadar faedah hingga 4 kali dalam tempoh 12 bulan.
"Malaysia pula dijangka hanya menurunkan kadar tersebut sekali sahaja, mewujudkan perbezaan kadar faedah yang menggalakkan situasi penghargaan kepada nilai ringgit di pasaran global," kata Choy.
Jelasnya, kebanyakan tekanan luaran berkaitan perdagangan sudah diambil kira dalam harga semasa dan beliau secara berhati-hati optimis yang 2026 akan menjadi tahun lebih baik buat ringgit sendiri.
Selain itu, beliau menekankan kestabilan politik Malaysia serta kedudukan fiskal yang semakin baik menjadi antara pemacu utama aliran masuk pelaburan ke dalam pasaran sejak beberapa bulan lalu.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Kanan ASEAN OCBC Bank, Lavanya Vekataswaran menyifatkan penghargaan ringgit tahun ini sebagai indikator sentimen pasaran yang pulih dan positif terhadap Malaysia.
“Kami lihat aliran masuk berterusan ke dalam pasaran ekuiti dan bon tempatan. Walaupun trend bercampur-campur, ringgit masih terus kekal disokong dengan baik,” ujarnya dalam sesi panel forum berkenaan.
Menurutnya, Malaysia berpotensi besar meraih manfaat kepelbagaian portfolio global yang menjauhi dolar AS, dengan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) menjadi antara penerima manfaat utama. - DagangNews.com








