RHB Research semak turun unjuran pendapatan Hartalega sebanyak 55% pada FY25 akibat kelamahan jualan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research semak turun unjuran pendapatan Hartalega sebanyak 55% pada FY25 akibat kelamahan jualan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Feb - RHB Research menyemak turun unjuran pendapatan Hartalega Holdings Bhd sebanyak 55% bagi FY25 akibat jumlah jualan yang lebih lemah serta kuasa penetapan harga pembuat sarung tangan boleh dipengaruhi pesanan daripada pelanggan Amerika Syarikat (AS).

 

Firma penyelidikan itu juga meramalkan keputusan 4QFY25 lebih lemah berbanding suku tahun ke suku tahun berikutan potensi kelemahan dalam jumlah jualan dengan pengurusan kumpulan menjangkakan penurunan antara 9% hingga 15% dengan kadar penggunaan kilang antara 70% hingga 75%.

 

"Kami menjangkakan pelabur akan melihat keadaan selepas April atau Mei 225, apabila inventori daripada saluran AS habis dan ia akan melonjakkan jumlah jualan.

 

"Pemangkin penarafan semula utama masih lagi keupayaan pembuat sarung tangan Malaysia untuk mengimbangi kesan tarif import yang lebih tinggi," katanya dalam atu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Perbelanjaan operasi lebih tinggi, untung bersih Hartalega susut 12.8% kepada RM19.51 juta pada 3QFY25
 

Terdahulu, hasil suku tahunan kumpulan meningkat 77.6% kepada RM738.19 juta, daripada RM415.64 juta pada 3QFY24.

 

Kumpulan itu mengaitkan pertumbuhan hasil kepada peningkatan ketara sebanyak 73% dalam jumlah jualan pada suku dalam tinjauan dan tiada dividen dicadangkan atau diisytiharkan untuk 3QFY25.

 

Bagi tempoh sembilan bulan (9MFY25), kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM60.06 juta, berbanding kerugian bersih RM2.39 juta setahun lalu, bersandarkan peningkatan hasil sebanyak 51% kepada RM1.97 bilion daripada RM1.31 bilion pada 9MFY24.

 

RHB Research berkata, keputusan 9MFY25 adalah di bawah jangkaan, terkesan oleh pesanan pelanggan AS daripada pengeluar China menjelang pelaksanaan tarif.

 

Akibatnya, kadar penggunaan kilang turun sedikit kepada 86.4% (2QFY25: 89.5%) apabila Hartalega mentauliahkan kapasiti baharu pada suku tersebut.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM3.30 sesaham," katanya. - DagangNews.com