Perbelanjaan operasi lebih tinggi, untung bersih Hartalega susut 12.8% kepada RM19.51 juta pada 3QFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perbelanjaan operasi lebih tinggi, untung bersih Hartalega susut 12.8% kepada RM19.51 juta pada 3QFY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Feb - Untung bersih Hartalega Holdings Bhd menyusut 12.8% kepada RM19.51 juta pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2024 (3QFY25) berbanding RM22.38 tahun lalu disebabkan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi sebanyak RM702.51 juta berbanding RM423.45 juta.

 

Bagaimanapun, hasil suku tahunan kumpulan meningkat 77.6% kepada RM738.19 juta, daripada RM415.64 juta pada 3QFY24.

 

Kumpulan itu mengaitkan pertumbuhan hasil kepada peningkatan ketara sebanyak 73% dalam jumlah jualan pada suku dalam tinjauan dan tiada dividen dicadangkan atau diisytiharkan untuk 3QFY25.

 

Bagi tempoh sembilan bulan (9MFY25), kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM60.06 juta, berbanding kerugian bersih RM2.39 juta setahun lalu, bersandarkan peningkatan hasil sebanyak 51% kepada RM1.97 bilion daripada RM1.31 bilion pada 9MFY24.

 

Keuntungan operasi bertukar positif kepada RM44 juta pada 9MFY25, berbanding kerugian operasi sebanyak RM11 juta pada 9MFY24. 

 

"Pertumbuhan ketara dalam keuntungan ini disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan hasil yang ketara dan kecekapan pengeluaran yang lebih baik, sebahagiannya diimbangi pendapatan operasi lain yang lebih rendah dan turun naik pertukaran asing yang lebih lemah," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek, Hartalega berkata, trend permintaan yang bertambah baik dapat dilihat dalam industri sarung tangan getah global, dengan bermulanya aktiviti penyimpanan semula merentas pasaran penggunaan utama.

 

"Tarif Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi ke atas import sarung tangan perubatan getah dari China, yang berkuat kuasa pada Januari 2025, berkemungkinan memberi dorongan lebih lanjut kepada pengeluar Malaysia untuk mendapatkan semula kedudukan di AS, pasaran pengguna tunggal terbesar di dunia," katanya.

 

Bagaimanapun, sektor itu perlu berdepan dengan beberapa masalah berterusan, termasuk lebihan bekalan global yang berterusan apabila pelarasan pasaran berterusan.

 

"Persaingan sengit dalam kalangan pengeluar domestik dan serantau terus memberi tekanan kepada purata harga jualan. 

 

"Selain itu, kekangan perkapalan global yang didorong oleh pergolakan geopolitik di Asia Barat terus menjejaskan laluan perdagangan global dan menyebabkan kelewatan penghantaran," katanya. - DagangNews.com