RHB Research potong unjuran keuntungan Bumi Armada sebanyak 14% bagi FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research potong unjuran keuntungan Bumi Armada sebanyak 14% bagi FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mei - RHB Research menurunkan unjuran keuntungan Bumi Armada Bhd pada FY25 sebanyak 14% dengan jangkaan hasil kumpulan itu akan terus lemah pada suku akan datang.

 

Katanya, ia susulan prestasi kewangan Bumi Armada yang lebih lemah daripada jangkaan bagi suku pertama berakhir 31 Mac (1QFY25).

 

Firma penyelidikan itu berkata, penyedia fasiliti dan perkhidmatan tenaga luar pesisir itu mencatatkan penysuutan untung teras sebanyak 16% dari suku tahun ke suku tahun dan 27% dari tahun ke tahun kepada RM182 juta selepas menolak keuntungan pertukaran asing belum direalisasi sebanyak RM400,000.

 

Prestasi suku tahun ke suku tahun terjejas disebabkan pengiktirafan pampasan yang perlu dibayar kepada penyewa kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Armada Kraken.

 

Ia susulan pengesahan lanjutan pilihan sewaan tahunan kedua sehingga 1 April 2027 dan ketiadaan pendapatan kerja penyelenggaraan bagi Armada Olombendo.

 

"Kami menurunkan unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 masing-masing sebanyak 14%, 12% dan 13% selepas menurunkan andaian sumbangan daripada Kraken.

 

“Bagaimanapun, saham ini masih diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan FY26 yang agak menarik iaitu 5.4 kali,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Katanya, Kraken memulakan pilihan lanjutan pertamanya pada April 2025 dan pilihan tahunan kedua telah disahkan.

 

Sementara itu, kumpulan itu  telah membayar balik pinjaman sebanyak AS$32 juta pada 1QFY25, menjadikan kadar hutang bersih kepada ekuiti menurun ke paras terendah sejak beberapa tahun iaitu 0.34 kali berbanding 0.37 kali pada 4QFY24.

 

Sehubungan itu, pihak pengurusan mungkin mempertimbangkan untuk memperoleh projek FPSO baharu atau sedia ada.

 

Satu perkembangan yang akan diperhatikan dengan teliti ialah kemungkinan penggabungan Bumi Armada dengan perniagaan luar pesisir MISC Bhd, yang menurut RHB Research boleh meningkatkan akses pembiayaan dan kadar kejayaan bidaan Bumi Armada. - DagangNews.com