KUALA LUMPUR 29 Dis — RHB Research memulakan liputan ke atas UUE Holdings Berhad dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) 71 sen, mencerminkan potensi kenaikan saham tersebut kira-kira 28%.
Menurut firma penyelidikan itu, kumpulan tersebut beroperasi dalam segmen infrastruktur tenaga yang kurang kelihatan tetapi kritikal, iaitu kerja-kerja utiliti bawah tanah voltan sederhana 11kV dan 33kV.
Situasi itu menjadikannya sebagai pemain strategik dalam ekosistem tenaga Malaysia, serta dilihat berada pada kedudukan kukuh untuk mendapat manfaat daripada kitaran perbelanjaan modal (capex) besar.
"Antaranya ialah daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan SP PowerAssets di Singapura, khususnya sebagai pemain bagi kaedah penggerudian arah mendatar (HDD)," jelas RHB Research dalam notanya.
Katanya, saham UUE ketika ini kelihatan terkurang nilai, dengan didagangkan 12.7 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) dua tahun ke hadapan, berbanding purata rakan setara sekitar 15.5 kali.
Keadaan itu tambahnya, menyokong pandangan positif ke atas kaunter itu, dan dari segi keterlihatan hasil, 66% daripada buku tempahan terkumpul berjumlah RM522 juta adalah berkaitan projek TNB.
RHB Research menambah, di bawah tempoh kawal selia 4 (RP4), capex dibenarkan TNB sudah meningkat dua kali ganda kepada RM42.8 bilion, dipacu oleh permintaan elektrik semakin bertambah tinggi.
"Kami menganggarkan bahagian kontrak berkaitan TNB yang relevan secara ekonomi kepada UUE boleh mencecah RM10.6 bilion, atau sekitar RM3.5 bilion setahun bagi tempoh 2025 hingga 2027," katanya.
Di Singapura jelasnya, aktiviti capex oleh SP PowerAssets yang mencecah paras tertinggi baharu S$1.16 bilion (RM3.65 bilion) bagi FY25 turut dijangka menyokong aliran kontrak untuk akan datang.
UUE baru-baru ini memperoleh kontrak bernilai S$20.9 juta (RM65.9 juta), menandakan skop projek yang semakin besar serta penglibatan secara lebih awal dalam perancangan kontraktor utama.
Ketika ini kata RHB Research, kesemua 10 pasukan operasi syarikat itu digerakkan sepenuhnya, dan ia mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 30.6% bagi tempoh FY25F hingga FY28.
"Ini turut disokong oleh pengebilan progresif daripada buku tempahan yang sedia ada dan pengisian semula kontrak sekitar RM350 juta setahun bagi FY27 dan FY28," jelas firma penyelidikan tersebut.
Bagaimanapun UUE berdepan risiko penurunan termasuk kegagalan kontrak baharu, kelewatan kelulusan permit serta kos bahan mentah yang lebih tinggi daripada jangkaan. - DagangNews.com








