KUALA LUMPUR 31 Dis — RHB Research memulakan liputan terhadap SumiSaujana Group Berhad dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) 18 sen sesaham, yang dipacu potensi kenaikan kira-kira 78%.
Firma penyelidikan tersebut menambah, keyakinan itu bersandarkan unjuran lonjakan pendapatan dari asas rendah FY25 dan trajektori pertumbuhan kumpulan tersebut dipercepatkan bagi FY26 hingga FY27.
Menurutnya, pengeluar kimia khusus untuk industri minyak dan gas (O&G) yang berpengalaman luas itu, menjana pendapatan melalui pengilangan bahan kimia serta perdagangan bahan kimia industri.
"Hubungan kukuh SumiSaujana dengan pemain global seperti Baker Hughes membolehkan ia mengeksport produknya ke rantau Asia Pasifik, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Amerika," kata RHB Research.
Justeru, firma itu menekankan struktur kos syarikat tersebut yang menguntungkan, dengan komponen utama merangkumi kira-kira 30% daripada pembelian pada FY24 berasal daripada asid lemak import.
Selain itu, kos berkenaan jelasnya, dijangka berkurangan pada 2026 susulan penurunan kadar yuran penghantaran laut dan harga bahan asas seiring dengan meredanya risiko geopolitik antarabangsa.
SumiSaujana juga kata RHB Research, sudah mula memperluaskan pasaran dan produk baharu, dengan pada 3QFY25, syarikat berjaya menghantar penghantaran pertama emulsifier ke Amerika Syarikat (AS).
"Kumpulan ini turut merancang membina usaha sama (JV) pemain tempatan menjelang 1QFY26, manakala memorandum persefahaman (MoU) dengan CoolisT Group disifatkan sebagai positif," ujarnya.
Langkah tersebut jelas firma penyelidikan itu, akan membolehkan penghantaran produk berasaskan bio bermula 1QFY26, dan dijangka menambah antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun kepada hasil awal.
RHB Research namun menjangkakan keuntungan teras SumiSaujana merosot 44% tahun ke tahun (YoY) kepada RM11 juta pada FY25, sebelum naik 62% dan 70% kepada RM17 juta (FY26) dan RM29 juta (FY27).
Kadar purata pertumbuhan itu bersamaan 16%, dengan berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 11 kali pada 2027, selaras penilaian unjuran Indeks Tenaga Bursa Malaysia antara 10 dan 12 kali.
"Bagaimanapun risiko utama termasuk ketidaktentuan tempahan, kenaikan kos input dan penurunan nilai dolar AS berbanding ringgit, yang boleh menekan margin serta prestasi keuntungan," katanya.
Secara keseluruhan, RHB Research menilai SumiSaujana berada pada titik perubahan dengan faktor pertumbuhan menyokong potensi keuntungan yang kukuh pada masa hadapan. - DagangNews.com








